SEJAK penubuhannya, XPENG menetapkan satu visi jelas, iaitu menjadi syarikat automotif berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang menerajui dunia dengan menjadikan teknologi canggih lebih mudah akses kepada pengguna seluruh dunia.
Kini dalam masa hanya sedekad, XPENG membuktikan jenama itu sebagai antara peneraju industri kenderaan elektrik (EV) global menerusi inovasi yang konsisten dan pencapaian luar biasa.
Perjalanan XPENG bermula pada 2018 apabila menerusi pelancaran XPENG G3 (foto atas) yang mencuri perhatian dengan pengenalan sistem parkir pintar dan interaksi suara yang dianggap inovasi revolusioner dalam industri automotif ketika itu.
Hanya dua tahun kemudian, pada 2020 dan 2021, XPENG mencipta sejarah sebagai syarikat EV pintar pertama yang berjaya disenaraikan serentak dalam dua bursa saham utama dunia, NYSE dan HKEX, dalam tempoh hanya enam bulan. Langkah itu menandakan keyakinan pelabur global terhadap potensi dan hala tuju pengeluar tersebut.
Tahun 2021 menyaksikan satu lagi pencapaian penting apabila model XPENG P7 (foto atas) bukan saja mentakrifkan semula konsep kabin pintar dan pemanduan autonomi, tetapi juga menjadi model EV China pertama yang mencatat jualan lebih 100,000 unit.
Ini membuktikan pengguna bukan saja berminat terhadap teknologi canggih, tetapi juga kemampuan XPENG merealisasikannya secara praktikal.

Tidak berhenti di situ, XPENG G9 pada 2022 menerajui jualan dalam segmen kenderaan utiliti sukan (SUV) elektrik premium di Eropah, Timur Tengah dan Afrika, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan jenama itu sebagai penanda aras teknologi dalam pasaran kenderaan tenaga baharu (NEV) dari China.

Tahun 2023 membawa gelombang baharu menerusi pelancaran XPENG G6 dengan memberikan pengalaman mobiliti pintar kepada lebih 100,000 pengguna muda seluruh dunia. Menariknya, di Thailand, model tersebut mencatat jualan bulanan melebihi keseluruhan jualan Model Y dalam tempoh tujuh bulan. Memang luar biasa!
Tahun sama juga menyaksikan XPENG membentuk kerjasama strategik bersama Volkswagen sebagai pengeluar automotif China pertama melesenkan teknologi peringkat platform kepada jenama global. Perkongsian tersebut membuka lembaran baharu buat XPENG untuk memperluas pengaruh teknologinya ke seluruh dunia.

Memasuki 2024, XPENG sudah beroperasi di lebih 30 negara dan wilayah, serta menerajui pasaran EV premium di Eropah bagi segmen kenderaan bernilai €40,000 (RM199,960) ke atas, termasuk menduduki tangga nombor satu eksport EV dalam kalangan syarikat pemula (startup) automotif dari China.
Tidak cukup dengan itu, pada suku pertama 2025, XPENG kembali menduduki takhta sebagai syarikat EV paling laris di China dengan mengatasi semua rekod jualan musim puncak terdahulu. Ini menandakan penerimaan pasaran yang kukuh terhadap produk dan jenama itu.

Sepanjang 10 tahun lalu, XPENG menubuhkan sembilan pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) peringkat global, serta menghimpunkan lebih 24,000 bakat teknologi dari seluruh dunia bagi merealisasikan visi mentakrifkan semula masa depan mobiliti.
Kini, dengan inovasi berterusan, semangat kejuruteraan yang tidak pernah padam, dan komitmen kukuh terhadap pembangunan mampan, XPENG terus mempercepat peluasan global serta membentuk masa depan industri automotif melalui pencapaian teknologi menakjubkan.
Leave a Reply