KERAJAAN mengambil langkah tegas mengatasi kesesakan dan penyalahgunaan sistem tempahan slot pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook mengumumkan penghapusan tempahan berganda bagi memastikan setiap nombor pendaftaran kenderaan hanya boleh buat satu tempahan. Langkah itu bertujuan menghalang pihak tertentu menyalah guna dengan menjual slot pada harga tinggi.
Selain itu, Puspakom juga akan meningkatkan waktu operasi dengan menambah empat jam sehari sepanjang Mac ini, kecuali Langkawi dan Pekan. Semua cawangan akan beroperasi 12 jam dan pusat pemeriksaan juga akan dibuka pada Sabtu untuk memberikan lebih banyak pilihan kepada pemilik kenderaan.
Selain itu, sistem deklarasi kendiri juga diperkenalkan bagi item pemeriksaan yang tidak melibatkan keselamatan seperti tanda badan kenderaan dan nombor pendaftaran.
Selain perubahan tempahan slot, Kerajaan juga memanjangkan tempoh pemeriksaan awal Puspakom daripada 14 hari kepada 30 hari sebelum tarikh tamat Lesen Kenderaan Motor (LKM). Langkah tersebut memberi pemilik kenderaan lebih masa untuk merancang pemeriksaan tanpa menjejaskan tarikh sah LKM.
Semua perubahan berkenaan akan berkuat kuasa 17 Mac ini yang bertujuan menambah baik sistem pemeriksaan kenderaan supaya lebih cekap dan teratur.
SUMBER: SinarHarian
Leave a Reply