BARISAN kenderaan elektrik (EV) Kia kini bersusun bagi memenuhi pelbagai cita rasa dan keperluan pelanggan sedunia. Kia sudah membariskan Niro EV, Ray EV, Soul EV, EV9, EV6, EV5, EV3 dan kini ahli famili baharu baru saja diperkenal, Kia EV4.
Lebih menarik, Kia EV4 2025 didatangkan dalam dua gaya badan sekali gus, iaitu sedan dan hatchback serta juga ada gaya sporty, menerusi GT-Line.
REKABENTUK EV4: ANTARA FUTURISTIK & KONTROVERSI
Menggunakan falsafah rekabentuk ‘Opposites United’, Kia EV4 2025 menggabungkan rekaan garis tajam dan bentuk unik. Rupa depan diolah daripada siri EV lain, tetapi model sedan lebih kepada gaya fastback dan ala crossover. Rekabentuk Kia EV4 hatchback pula lebih mudah dihadam.
Rekabentuk EV4 tampak unik, futuristik dan kontroversi. Lupakan mengenai keharmonian visual kerana setiap sudut EV4 terbuka untuk dibahaskan. Dari segi aerodinamik, EV4 direka untuk meningkatkan kecekapan tenaga dan memberikan pengalaman pemanduan lebih stabil dan lancar.
Kia EV4 (Sedan & Hatchback)
- Menampilkan ‘EV Tiger Face’ Kia yang kemas dan menyerlah.
- Lampu utama vertikal digabungkan dengan pencahayaan Star Map yang memberikan rupa lebar dan sporty.
- Gabungan aerodinamik dan estetika futuristik membabitkan:
- Bonet rendah untuk aliran udara lebih baik dan kecekapan aerodinamik.
- Profil fastback yang memberikan rupa lebih slik dan moden.
- Spoiler bumbung unik yang bukan saja meningkatkan aerodinamik, tetapi juga menambah gaya sporty.
i) Kia EV4 Sedan
- Memberikan interpretasi baharu kepada konsep sedan tradisional.
- Garisan hud rendah bersambung ke belakang dengan rekaan 'long tail'.
- Rim aloi 19-inci unik seperti siri Kia EV lain.
- Spoiler dua bahagian, lampu belakang menegak dan rekaan bampar kemas tanpa elemen tambahan.
ii) Kia EV4 Hatchback
- Kekal unik, tetapi lebih sederhana berbanding model sedan.
- Pilar-C tebal dan trim menegak.
- Lampu belakang vertikal dengan lensa bersambung sepanjang but, tidak seperti sedan.
iii) Kia EV4 GT-Line
- Menampilkan elemen rekabentuk eksklusif yang berbeza daripada model asas EV4.
- Bampar depan dan belakang bentuk sayap untuk rekaan lebih agresif.
- Rim 19 inci corak segi tiga.
Kia belum berkongsi maklumat terperinci mengenai trenkuasa, prestasi dan lain-lain lagi hingga pelancaran rasmi pada penghujung Februari ini.
Leave a Reply