SUSULAN kunjungan mengejut Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar ke cawangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Putrajaya pada awal September lalu membawa impak positif kepada orang ramai.
Pada ketika itu, Shamsul Azri membangkitkan dua masalah yang membelenggu orang awam semasa mereka berkunjung ke premis agensi di bawah Kementerian Pengangkutan (MOT) untuk melakukan urusan masing-masing.
Dua masalah itu ialah proses kerja terlalu lama dan ruang menunggu untuk orang awam boleh dipertingkat termasuk penyediaan tempat duduk dan kipas.
Susulan teguran Shamsul Azri dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, JPJ mengambil inisiatif awal dengan melanjutkan waktu kerja selama satu jam di beberapa lokasi cawangan mereka.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke semalam merasmikan sebuah premis baharu susulan teguran Shamsul Azri di Putrajaya dan menjenamakan semula cawangan itu kepada Pejabat JPJ Wilayah Persekutuan Putrajaya.
Penjenamaan semula bukan sekadar meningkatkan imej tetapi dibuat memandangkan pejabat baharu itu adalah setanding atau lebih tinggi berbanding pejabat JPJ di negeri-negeri.
Premis baharu itu mengetengahkan imej pejabat seperti berikut:
- Konsep lebih moden seperti yang boleh dilihat di bank-bank terkemuka negara.
- Tempat duduk lebih selesa dan lebih banyak kerusi disediakan.
- Tiada lagi penghadang antara petugas dan pelanggan demi memudahkan komunikasi serta serahan dokumen.
- Orang ramai tidak lagi perlu berdiri semasa berurusan dengan kakitangan di kaunter (ada kerusi disediakan).
- Tambahan barisan kios layan diri di ruang foyer bangunan Pejabat JPJ Wilayah Persekutuan Putrajaya.
- Urus niaga ditingkatkan dari 27 urusan kepada 106 urusan di pejabat baharu itu.
- Teknologi JPJ Assist juga disediakan di premis tersebut untuk memudahkan dan mempercepatkan urusan pelawat.
- Kelengkapan iPad disediakan untuk pengguna melakukan urusan secara maya.
- Lampu pencahayaan lebih terang dengan dinding berkaca untuk menerangi keseluruhan ruang pejabat.
Loke berkata:
Ini akan membawa wajah dan pendekatan baharu untuk servis kaunter JPJ. Dan secara berfasa-fasa, pejabat-pejabat JPJ di seluruh negara akan ditambah baik menggunakan konsep baharu seperti ini yang lebih mesra pelanggan.
"Ada pegawai dan kakitangan akan membantu mereka (orang ramai). Ada kios untuk pelawat melakukan urusan secara sendiri. Kita akan sediakan iPad untuk pelanggan melakukan self service dan kaunter yang lebih mesra pelanggan.
"Kalau kaunter konvensional JPJ, pelanggan perlu berdiri berurusan dengan (petugas) kaunter dan (dipisahkan) dengan tembok dan kaca. Konsep baharu ini kita lihat pelanggan duduk dan bertentangan dengan petugas kaunter JPJ untuk memudahkan urusan.
"Ini konsep baharu kita nak bawa kepada kaunter servis JPJ dan saya harap ini dapat diperluaskan ke seluruh negara supaya kita dapat bawa satu nafas baharu. Untuk membuatkan rakyat berasa apabila mereka datang ke JPJ, mereka dilayan dengan mesra."
Beliau tidak mendedahkan kos untuk pembukaan (pemindahan) pejabat baharu itu tetapi menyatakan kerja-kerja menyiapkan berlangsung kira-kira empat bulan.
Jelasnya, ada beberapa lokasi pejabat yang dikenali dengan jumlah pelawat tinggi sudah dikenal pasti dan akan diberi keutamaan transformasi terlebih dulu.
"Kita akan membuka satu lagi pejabat di Nilai, Negeri Sembilan dalam masa terdekat supaya dapat selesaikan kesesakan di kawasan terdekat seperti Bangi dan Kajang. Kita tahu JPJ Bangi adalah yang paling sibuk sebab berada di lot kedai.
"Jadi kita harap dapat memberi lebih banyak pilihan (pejabat dan cawangan) kepada pengguna supaya tidak terlalu sesak di satu-satu tempat."
Leave a Reply