SERAMAI 500 penunggang menyertai program 'Ride 2 Juta' bagi membantu mencari dana menyiapkan Masjid Klebang Putra, di Chemor, Perak, Sabtu lalu.
Idea program itu tercetus selepas pempengaruh Youtube, Fakhrul Amry melakukan kolaborasi konten bersama pasukan media Masjid Klebang Putra di TikTok yang kemudian mengadakan perbincangan dengan beberapa rakan lain yang juga pemimpin kelab permotoran dari pelbagai negeri di Malaysia.
Imam Masjid Klebang Putra, Muhamad Khalil Yaacob berkata, kos keseluruhan pembinaan masjid itu dianggarkan bernilai RM4 juta dan hanya tinggal baki RM2 juta sahaja yang diperlukan untuk memulakan proses pembinaan menjelang pertengahan tahun depan.
'Ride 2 Juta' ini membuktikan anak-anak muda yang meminati motosikal bukan seperti apa dianggap sesetengah orang bahawa mereka ini mat rempit. Kita mahu ubah persepsi itu."
"Insya-Allah, melalui program ini dan beberapa lagi program dilaksanakan, kita yakin sasaran RM2 juta akan dicapai, sekali gus merealisasikan impian untuk melihat masjid ini tersergam menjelang Jun tahun depan."
Muhammad Khalil berkata lagi, pihaknya juga mempunyai visi menjadikan Masjid Klebang Putra sebagai masjid mesra musafir yang boleh digunakan orang ramai, termasuk golongan peminat motosikal.
Konvoi bermula dari Petronas Bandar Meru Raya sambil diiringi pasukan polis dengan pelbagai jentera motosikal seperti:
- Honda ADV
- Harley Davidson
- Husky 150
- Pelbagai motosikal klasik
Turut serta dalam konvoi ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi, Mohd Hafez Sabri (foto atas kiri), dan legenda pelumba negara, Wazi Abdul Hamid (foto kanan) yang sempat memberikan taklimat keselamatan sebelum konvoi bermula.
Orang ramai yang mahu terus menyumbang kepada pembinaan Masjid Klebang Putra boleh menyalurkan sumbangan ke akaun RHB Bank bernombor 258-244-0000-6573 atas nama Masjid Klebang Putra.
SUMBER: AstroAwani | FB MasjidKlebangPutraChemor
Leave a Reply