SUZUKI Assemblers Malaysia Sdn Bhd menambah tiga lagi ahli keluarga baharu dalam rangkaian motosikal berkuasa tinggi apabila melancarkan Gladius 650 ABS, V-Strom 650 ABS dan V-Strom 650XT ABS.
Biarpun dijana dengan enjin yang sama iaitu bersesaran 650cc, setiap model adalah memenuhi keperluan segmen berbeza dengan tarikan tersendiri.
Lebih mengujakan, harga ketiga-tiga model ini adalah jauh lebih murah berbanding pesaingnya yang lain.
- Suzuki V-Strom 650XT ABS: RM43,900
- Suzuki V-Strom 650 ABS: RM41,900
- Suzuki Gladius 650 ABS: RM39,900.
Pengarah urusan Suzuki Assemblers Malaysia, Toru Kobayashi optimis ketiga-tiga model baharu ini bakal diterima ramai selain menjadi kegemaran rakyat Malaysia.
Menurut Kobayashi, pihaknya menyasarkan penjualan sebanyak 100 unit setahun bagi setiap model di mana sasaran jualan bagi 2015 adalah sebanyak 600 unit.
Diimport sepenuhnya (CBU) dari Jepun, ketiga-tiga model menggunakan enjin dan transmisi sama iaitu 6455cc 2-silinder V90 darjah bersama kotak gear 6-kelajuan. Walau bagaimana, prestasinya ditala mengikut kesesuaian karakter masing-masing.
REKAAN - V-STROM 650 ABS dan V-STROM 650XT ABS
Walaupun berkongsi konfigurasi dan enjin yang sama, namun terdapat beberapa perbezaan antara V-Strom 650 ABS dan V-Strom 650XT ABS. Kedua-duanya sesuai untuk penggunaan laluan ‘offroad’ termasuk rim dan tayar pelbagai guna serta ‘paruh’ hadapan.
V-Strom 650XT ABS baharu memiliki rekaan depan yang lebih tajam yang tampak lebih agresif dan berani.
Ia juga boleh dilengkapi dengan pelbagai aksesori pilihan mengikut citarasa pemilik itu sendiri. Antaranya, kompartmen atas dan tepi serta aluminium.
Selain itu, ia turut berkongsi ciri yang sama seperti penggunaan suspensi hadapan dan belakang boleh laras, bingkai aluminium aloi, brek 310mm berkembar hadapan, brek tunggal 260mm di belakang, sistem brek ABS, penghadang angin hadapan boleh laras dan palam pencucuh berkembar Iridium.
GLADIUS 650 ABS
Rekaan jentera ini adalah berbentuk ‘naked’ yang dibina dengan kerangka Trellis dan menawarkan pengendalian lebih mudah.
Dengan bingkai padat jenis ‘trellis, gaya agresif dan enjin 645cc V-twin, ia adalah sebuah jentera sport yang dinamik dari segi prestasi.
Antara ciri lain yang ada adalah tempat duduk rendah (785mm), suspensi hadapan dan belakang boleh laras, penunjuk gear dan brek berkembar hadapan dengan sistem ABS.
Ia juga memiliki intrumentasi yang mudah dibaca dengan alat multi-fungsi memaparkan gear bersama takometer analog dan mempunyai paparan LCD komprehensif termasuk speedometer, odometer / meter perjalanan serta jam.
Gladius hadir dengan pilihan warna kelabu, biru dan mat hitam, manakala varian V-Strom pula warna putih, kelabu, merah dan biru.
JAMINAN
Kesemua model didatangkan dengan jaminan selama dua tahun atau 20,000km had perbatuan (mana tiba dahulu).
Leave a Reply