HONDA ADV350 ialah antara skuter yang masih jarang dapat dilihat di atas jalan raya. Mungkin disebabkan model itu masih baru di pasaran Malaysia. ADV350 diperkenalkan pada Mei lalu di pameran Malaysia Autoshow 2024 dengan harga asas jualan RM33,999.
Perkongsian dalam artikel ini adalah berdasarkan pengalaman peribadi saya selama kira-kira tiga hari bersama ADV350 dan bukannya satu penceritaan tunggang uji komprehensif bersifat jangka sederhana-panjang.
- Honda ADV350 nampaknya meminjam sedikit konsep rekabentuk seperti abangnya, X-ADV iaitu bergaya adventure khususnya di bahagian hadapan tetapi berbadan skuter jika dilihat dari arah belakang.
- Saiznya agak lebar dengan pelana empuk yang agak tinggi. Memandangkan skuter ini agak lebar ditambah pula tempat letak kaki, saya perlu berjengket untuk mengimbangi skuter semasa berhenti di lampu isyarat merah.
- Bar hendal jenis panjang tetapi tidak mengganggu kawalan dan pengendalian semasa mencelah antara barisan trafik dalam bandar.
- Konsol butang kawalan kanan adalah biasa tetapi konsol kiri dilengkapi fungsi kawalan tambahan. Ini termasuk tambahan butang Kawalan Tork (HSTC), butang FN (Suis Fungsi) dan Suis Pemilih (butang berbentuk +) selain hon, butang lampu signal belok, lampu tinggi-rendah dan lampu kecemasan.
- Perlu sedikit masa untuk sesuaikan diri dengan kawalan konsol kiri khususnya butang lampu signal kerana acap kali tersalah menolak butang Suis Pemilih.
- Posisi gabungan lampu tinggi- rendah dan bypass pula ditempatkan di bahagian atas konsol kiri yang juga memerlukan masa untuk dibiasakan.
- Butang Kawalan Tork hadir dengan dua peringkat iaitu kawalan penuh atau separuh untuk membantu meningkatkan kestabilan cengkaman roda.
- Bukaan tempat isian petrol dan pelana berasaskan butang. Agak mudah digunakan apatah lagi ADV350 dilengkapi sistem kemasukan tanpa kunci (keyless).
- Saiz tangki minyak agak kecil sekadar 11.7 liter dan mungkin boleh ditingkatkan kapasiti untuk takungan bahan api lebih besar agar membantu menambah jarak tunggangan lebih jauh.
- Ruang simpanan berkeluasan 48 liter membolehkan simpanan seunit topi keledar saiz biasa dan topi keledar saiz kecil atau separuh, selain baju hujan atau beg kecil.
- Visor angin boleh laras empat tahap ketinggian. Tugas yang dimainkan visor angin benar-benar dalat membantu mengurangkan pukulan angin terus ke badan.
- Prestasi enjin silinder tunggal tidak mengecewakan dan menawarkan kuasa dan daya pecutan yang memberangsangkan untuk sebuah skuter kelas pertengahan. Hantaran kuasa menggunakan tali sawat menerusi kotak gear CVT boleh dipuji.
- Kualiti binaan Honda ADV350 terbukti berkualiti dan tiada kedengaran atau mana-mana bahagian longkar dirasai sepanjang tunggangan. Sememangnya kemas.
- Prestasi keseluruhan sistem suspensi cukup baik berbekalkan fork dan absober berkembar berjenama Showa. Tiada isu skuter membuai atau hentakan keras sepanjang tunggangan. Skuter stabil dan seronok ditunggang apatah lagi pada kelajuan 150kmj.
- Rim aloi berbeza saiz dengan 15 inci depan dan 14 inci di belakang dibalut tayar jenama Metzeler Karoo Street dwi-kegunaan. Boleh layan off-road ringan dan menggalas tugas baik atas permukaan jalan kering dan basah.
- Penggunaan instrumen meter digital LCD latar biru dan paparan maklumat penting tetap boleh dibaca dengan mudah.
- Secara keseluruhan, jika ditanya saya sama ada berbaloi dibeli atau tidak, ia bergantung kepada keperluan dan kesanggupan anda. Berbekalkan apa yang hadir bersama ADV350, mungkinkah skuter ini bakal jadi pilihan peminat twist-and-go?
Leave a Reply