PERKEMBANGAN pengeluar motosikal dari Bologna Panigale, Itali memang rancak dan terbaru Ducati memperkenalkan enjin V2 baharu.
Ducati terus percaya dan melabur di dalam enjin berkembar V 90 darjah dan nadi yang memberi karakter kepada model ikonik syarikat.
Enjin itu telah mencapai lebih 400 kemenangan dan 1,000 podium bagi kategori perlumbaan motosikal yang diasaskan dari model produksi.
Mesin terbaru ini merupakan enjin silinder berkembar paling ringan dihasilkan dan menyambung warisan yang dimulakan Pantah dan disusuli Desmodue, Desmoquattro, Testastretta dan Superquadro.
Melalui enjin baharu ini, Ducati telah menunaikan komitmennya dan dalam tempoh tujuh tahun telah memperkenalkan empat enjin baharu, dari Desmosedici Stradale kepada Superquadro Mono, dan dari V4 Granturismo kepada V2.
Memerhatikan perkembangan Ducati boleh diibaratkan syarikat ini juga pengeluar 'inovasi'. Ducati sedang menghayati formula sempurna iaitu pakej motosikal yang bagus dan dipandang tinggi, peminat tersendiri, kejayaan di litar dan semestinya rekabentuk menawan.
V2 baharu dibuat mengikut piawaian Euro5+ dan enjin dengan sesaran 890cc ini dilengkapi sistem pemasaan injap variabel IVT (Intake Variable Timing), pelapik (liner) aluminium dan hanya seberat 54.4 kilogram (kg).
Perbandingan:
- V2 2025: 54.5 kg.
- Superquadro 955: 63.9 kg (+9.4kg)
- Testastretta Evoluzione: 60.4 kg (+5.9kg)
- Scrambler Desmodue: 60.3 kg (+5.8kg)
Model yang menggunakan V2 baharu belum dimaklumkan dan akan didedahkan pada 5 November.
Ciri-ciri enjin V2 Ducati baharu (2025):
- 890cc, V berkembar, 90º.
- Pengagihan pacuan rantai (chain driven), aci sesondol atas kembar (DOHC), 4 injap per silinder.
- Injap pemasaan variabel IVT pada bahagian kemasukan.
- Batang injap kemasukan hollow stem 38.2 mm, injap ekzos 30.5 mm.
- Gerek dan lejang: 96 x 61.5 mm.
- Nisbah mampatan: 13.1±0,5:1.
- Kuasa maksimum: 120 hp@10,750 rpm, 126 hp dengan ekzos perlumbaan dan tork maksimum 93.3Nm@ 8,250 rpm.
- 115.6 hp@10,750 rpm, 92.1Nm@8,250 rpm - enjin dengan alternator berkuasa dan nisbah yang disingkatkan untuk dua gear pertama.
- Badan pendikit 52 mm.
- Pelapik aluminium pada silinder.
- Klac basah pelbagai cakera, bantuan servo dan fungsi anti-hopping.
- Pelinciran takungan (sump) separa basah dengan pam tekanan dan pam penyedut.
- Kotak gear 6-kelajuan, pilihan Ducati Quick Shift (DQS) 3.0.
- Sela tukaran minyak enjin pada 15,000 km.
- Pemeriksaan dan pelarasan kelegaan injap pada 30,000 km.
Leave a Reply