REKABENTUK motosikal Honda kadang-kala dilihat bersahaja dan berbeza daripada jenama Itali dan Jepun sendiri.
Dari pertanyaan yang diajukan kepada ChatGPT, rekabentuk Honda lebih kepada minimalisme Jepun dan memang benar jika diperhatikan. Rekabentuk begitu juga dapat memikat pelanggan di Eropah.
Untuk pelanggan di sana yang minat mengembara, Honda menawarkan NT1100 pada 2021 sebagai model tahun (MY) 2022.
Motosikal ini menggabungkan prestasi, pengendalian, keselesaan tunggangan jarak jauh, teknologi terkini dan dalam gayaan tourer bersahaja.
Gabungan tersebut telah dibuktikan popular di Eopah dengan jualan melebihi 12,000 buah dan menurut Honda berada di tempat pertama kategori kembara sport (touring) pada 2023.
Terbaru Honda memperkenal NT1100 MY 2025 dan sekali pandang seperti abang atau X-ADV 750 versi kembara dan tradisi sejak mula lagi.
Rekaan depan diubah dengan lampu berkembar yang dilengkapi lampu nyalaan siang (DRL) dan lampu isyarat. Reraut depan juga ditukar dan begitu juga panel sisi yang lebih berbentuk.
Pemesong angin atas dan bawah berfungsi seiring untuk perlindungan cuaca lebih baik dan madgad depan yang dipanjangkan juga memainkan peranan sama.
Skrin depan boleh dilaras menggunakan sebelah tangan manakala pelana rekaan baharu dan lebih besar menawarkan lebih keselesaan untuk tunggangan jauh. Kotak tepi juga direka baharu dan setiap satu boleh diisi topi keledar penuh.
Enjin 1,084cc silinder berkembar sebaris menerima pakej perubahan baharu pada kemasukan, kebuk dan ekzos yang menyumbang kepada tujuh peratus lebih daya kilas pada julat rendah dan pertengahan. Nisbah mampatan berbeza iaitu 10.5:1 daripada 10.1:1.
Kuasa kekal sama iaitu 100.6 bhp pada 7,500 rpm kecuali daya kilas meningkat kepada 112Nm pada 5,500 rpm berbanding 105Nm pada 6,250 sebelum ini. Kadar penggunaan bahan api dari tangki 20 liter ialah sehingga 400 kilometer (km).
Sistem elektronik turut diubah dan kini dilengkapi Unit Pengukuran Inersia (IMU) enam paksi untuk kawalan lebih jitu bagi pelbagai sistem seperti Kawalan Tork Terpilih Honda, Kawalan Wheelie Tiga Tahap, ABS Sudut dan Kawalan Angkat Belakang.
IMU turut terlibat dalam pengurusan mod tunggangan seperti Urban, Rain dan Tour. Penunggang juga boleh membuat penetapan sendiri melalui dua mod User.
Perubahan besar pada NT1100 MY 2025 turut merangkumi suspensi pilihan Showa Electronically Equipped Ride Adjustment (Showa-EERA™) berbanding versi Showa standard dari kilang.
Showa-EERA™ menawarkan pengoptimuman penyerap hentak secara masa nyata dalam semua keadaan tunggangan serta fungsi pelarasan pegas gegelung belakang semasa menunggang.
Transmisi Klac Berkembar (DCT) enam kelajuan juga diubah bagi meningkatkan kelancaran pada kelajuan rendah dan operasi dan dihubungkan dengan IMU untuk penukaran gear intuitif semasa di selekoh.
Skrin TFT 6.5 inci warna penuh menawarkan paparan boleh ubah dan boleh dihubungkan bersama telefon pintar. Grip hendal dengan pemanas turut dipertingkat.
Kawalan Jelajah, ACC, lampu isyarat pemadaman sendiri, Isyarat Berhenti Kecemasan (ICC) disenarai di dalam kelengkapan standard.
Dua warna baharu ditawarkan iaitu Mat Warm Ash Metallic dan Gunmetal Black Metallic selain pilihan sedia ada Pearl Hawkseye Blue.
Leave a Reply