SERAMAI 69 pelajar sekolah telah ditahan kerana terlibat dengan aktiviti rempit atau lumba haram dalam Operasi Bersepadu Samseng Jalanan di Jalan Klebang Ria, pada Ahad lalu.
Operasi ini telah bermula seawal 6.30 petang pada Ahad sehingga awal pagi semalam, melibatkan Polis Diraja Malaysia Kontinjen Perak dengan beberapa agensi lain seperti Jabatan Alam Sekitar dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, pihaknya telah menahan 130 lelaki dan enam wanita berusia antara 12 hingga 45 tahun dipercayai terlibat dalam lumba haram dan menjadi penonton dalam perlumbaan tersebut.
Pihak kami bertindak atas aduan orang ramai selepas mendapat maklumat terdapat gangguan ketenteraman awam di kawasan Klebang Perak dan berlakunya kes melanggar undang-undang lalu lintas."
"Suspek yang berlumba haram ditahan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan."
Kesemua yang ditahan juga telah menjalani ujian saringan air kencing dan dua individu bukan pelajar positif dadah jenis Methamphetamine.
Sebanyak 168 saman dan 20 motosikal pelbagai model telah disita pihak polis. Berikut antara saman atas pelbagai kesalahan yang dikeluarkan:
- Tiada lesen (40 saman)
- Tiada cermin sisi (29 saman)
- Kesalahan nombor pendaftaran kenderaan (22 saman)
Sementara itu, terdapat juga individu yang membawa anak, isteri, dan keluarga untuk menonton aktiviti rempit itu sehingga ia menjadi satu trend dalam kalangan mereka.
Tambah beliau, seorang anggota polis berpangkat koperal dilaporkan mengalami kecederaan pada tangan akibat dilanggar penunggang motosikal sewaktu operasi dijalankan.
Bagaimanapun keadaan anggota itu masih baik dan hanya mengalami kecederaan ringan sahaja.
SUMBER: Bernama
Leave a Reply