TOYOTA Gazoo Racing semakin jauh melangkah ke dalam sukan permotoran apabila mengumumkan penyertaan di dalam Kejohanan Supercars Repco pada 2026.
Toyota bakal menghantar GR Supra dan bukan model biasa tetapi menggunakan enjin V8! Bukan sebuah tetapi sekurang-kurangnya empat GR Supra GEN3!
Kereta GEN3 baru sahaja diperkenal pada 2023 selepas ditangguh selama setahun dan pertama kali diumum pada 2020. Seperti biasa, peraturan baharu dibuat supaya kereta dapat bersaing lebih rapat dan mengurangkan kos.
Dua kereta akan dikemudi oleh rakan kerjasama homologasi iaitu Walkinshaw Andretti United (WAU) yang mewakilkan Chaz Mostert dan Ryan Wood.
Toyota sememangnya bergiat aktif dalam sukan permotoran di Australia dan penyertaan pertama di peringkat antarabangsa juga berlangsung di Australia pada 1957 menggunakan Toyopet Crown.
Bukan sekadar peserta, Toyota sendiri menganjurkan perlumbaan seperti TOYOTA GAZOO Racing Australia (TGRA) Scholarship Series dan GR CUP.
TGRA Rally Team bersama Neal Bates Motorspor pula sedang mendahului Kejohanan Rali Australia.
Menurut Naib Presiden Jualan, Pemasaran dan Operasi Francais Toyota Australia, Sean Hanley, idea untuk menyertai kejohanan sudah pun berlegar selama lebih 20 tahun.
WAU bukan calang-calang dan mempunyai rekod kejayaan di dalam Kejohanan Supercar dengan tujuh kali juara perlumbaan Barthurst 1000, enam kategori pemandu dan 191 kemenangan perlumbaan.
Toyota Australia telah pun memulakan kerja rekaan awal kereta lumba GR melalui bahagian reka bentuk sendiri di Altona dan menghasilkan model skala menggunakan perisian CAD dan teknologi VR.
GR Supra dibekalkan enjin aluminium 2UR-GSE Toyota, empat aci sesondol V8 yang digunakan di dalam pelbagai model produksi termasuk Hilux yang menang Rali Dakar 2019 (enjin asas).
Toyota komited untuk bersaing di dalam Kejohanan Supercar selama lima tahun. Untuk rekod, Toyota bersaing di dalam pelbagai perlumbaan di serata dunia seperti Kejohanan Endurans Dunia (WEC), Kejohanan Rali Dunia, (WRC), Rali Dakar, NASCAR dan sejumlah perlumbaan GT, rali dan litar.
Pasukan Rali Dunia Gazoo Racing telah merangkul empat Kejuaraan Pengeluar dan lima Kejuaraan Pemandu di dalam WRC.
Leave a Reply