PENINGKATAN sembilan peratus bulan ke bulan untuk pengeluaran kereta Perodua pada Ogos 2024 dipengaruhi dua jenis model iaitu Perodua Axia dan Perodua Bezza.
Penganalisis RHB Investment Bank, Syahril Hanafiah berkata, bilangan unit Axia dan Bezza yang siap dipasang mengalami peningkatan dengan masing-masing mencatatkan 14 peratus dan 31 peratus pada bulan lalu. Apabila kedua-dua model ini digabungkan, ia merangkumi 57 peratus jumlah pengeluaran kereta Perodua.
Pada waktu sama, Proton juga menunjukkan peningkatan darisegi pengeluaran sebanyak empat peratus, sekaligus membuktikan perkembangan positif bagi kedua-dua pengeluar kereta nasional ini.
Bagi pengeluar kereta bukan nasional seperti Honda pula turut mengalami kenaikan sebanyak lapan peratus pada bulan ini setelah pengeluaran kereta jatuh dua bulan berturut-turut. Berbeza dengan Toyota yang tetap mengalami penurunan dua peratus bulan ke bulan.
Angka pengeluaran kereta ini juga dipengaruhi dua perkara iaitu jumlah pengeluaran industri (TPV) dan jumlah keseluruhan industri (TIV). Sekiranya TPV dapat mengatasi TIV, maka bilangan tempahan tertunggak akan semakin berkurang.
Pada Ogos 2024 juga TIV mencatatkan bilangan 71,162 unit bersamaan pengurangan 2.3 peratus berbanding bulan sama tahun lalu.
Bagaimanapun pada lapan bulan pertama 2024, ia telah meningkat sebanyak 5.9 peratus iaitu sebanyak 533,301 unit berbanding tempoh sama tahun lalu.
Oleh sebab prestasi TIV dijangkakan lebih lemah pada September susulan penutupan sementara operasi kilang untuk tujuan penyelenggaraan, kami berpendapat jualan akan kembali normal pada tempoh separuh kedua 2024, dan mungkin jatuh lapan peratus tahun ke tahun."
"Dengan ini, kami bertindak untuk tidak mengubah wajaran 'neutral bagi sektor hartanah dengan ramalan TIV bagi 2024 sebanyak 790,000 unit."
Kebanyakan syarikat pengeluar seperti Proton, Toyota, dan Honda mengalami penurunan jualan unit kereta sebanyak 10 peratus, 17 peratus, dan lima peratus tahun ke tahun.
Berbeza dengan Perodua yang mengalami peningkatan sebanyak 11.6 peratus berbanding 2023 dengan merekodkan jualan bulanan tertinggi sebanyak 34,700 unit.
Jika tidak mengambil kira catatan syarikat pengeluar kereta nasional terbesar itu, TIV pastinya akan susut sebanyak 13 peratus tahun ke tahun pada bulan Ogos."
SUMBER: BeritaHarian
Leave a Reply