PROTON Holdings Berhad hari ini melancarkan Proton X70 2025 versi dipertingkat dengan menaik taraf aspek kosmetik, termasuk menambah baik ciri supaya kekal relevan di pasaran pada harga bermula RM98,800.
Antara pembaharuan dilakukan pada kenderaan utiliti sukan (SUV) segmen-C ialah rekabentuk lampu depan, dan gril 'Infinite Weave' serba baharu, manakal ciri paling dinanti ramai, konektiviti Apple CarPlay dan Android Auto diberikan dalam bentuk sambuhgan wayarles dan berwayar.
Proton X70 2025 ditawarkan dalam empat varian seperti berikut:
- 1.5 TGDi Premium X - RM126,800 (spesifikasi sama sepeeti Premium, tetapi mencapat tambahan bumbung panoramik).
- 1.5 TGDi Premium - RM123,800
- 1.5 TGDi Executive - RM110,800
- 1.5 TGDi Standard`- RM98,800
PAKEJ MENARIK
Bagi 3,000 pembeli pertama, Proton berbesar hati menawarkan tiga manfaat sewperti berikut, tertakluk terma dan syarat:
- Rebat tunai RM7,000
- Sokongan tukar beli (trade-in) sehingga RM2,800 (RM2,800 untuk kereta Proton, RM2,000 untuk kereta jenama lain.
- Program Insuran Proton Dinaik Taraf (melibatkan perlindungan kunci RM2,000, insurans banjir RM2,000, perlindungan kerusi kanak-kanak RM500, kemalangan peribadi untuk penumpang RM15,000 setiap penumpang, elaun kemalangan RM200 sehari hingga tiga hari)
Pakej standard diberikan kepada setiap pembeli pula terdiri daripada:
- Waranti lima tahun tanpa had perbatuan.
- Pakej data 1GB setiap bulan selama lima tahun
- Kadar faedah pembiayaan daripada 2,4 peratus setahun.
- Program Insurans Proton
TRENKUASA
Proton X70 2025 dijana enjin 1.5 TGDi berkuasa 174hp (130kW) @ 5,500rpm dan tork 255Nm @ 1,500-4,000rpm dengan tiga mod pandu: Eco, Normal dan Sport. Juga disediakan Brek Parkir Elektrik (EPB) dan ciri brek pegun (ABH)
Talaan dilakukan pada enjin dan transmisi dual-klac (DCT) 7-kelajuan dengan mod manual menambah baik ekonomi bahan api pada kadar 7.3 liter per 100km.
Trenkuasa baharu ini memberikan 4 peratus penjimatan berbanding X70 2022
LUARAN
Perubahan luaran paling ketara ialah rekabentuk lampu depan baharu lebih tirus dan gril Infinite Weave rekaan baharu berbentuk taburan berlian, sama seperti diperkenalkan pada Proton X90 dan S70.
Lampu depan baharu ini terdiri daripada 47 unit lampu LED. Ada juga ciri but kuasa bebas tangan diberikan sebagai standard.
Rekabentuk belakang nampak seperti tidak berubah, tetapi masih memberikan kesan visual yang dinamik dan stabil.
Ada lima warna pilihan ditawarkan, iaitu Snow White (putih), Ruby Red (merah), Armour Silver (perak), Jet Grey (kelabu) dan Marine Blue (biru, warna baharu).
Rekaan rim juga diperbaharui dalam dua saiz, 19 inci (untuk Premium X dan Premium, foto atas) dan 18 inci (varian selebihnya).
DALAMAN
Seperti diminta peminat, Proton akhirnya bersetuju melengkapkan unit infotainment Proton X70 2025 dengan konektiviti Apple CarPlay dan Android Auto. Tidak dilupakan lima port pengecas supaya peranti pintar anda kekal dicas sepanjang perjalanan.
Tidak dilupakan ciri arahan suara ‘Hi Proton’ dan aplikasi Proton Link untuk tetapan penyaman udara, menghidupkan enjin, dan penyaman udara secara kawalan jauh.
Lagi?
Model baharu ini mendapat unit infotainment skrin sentuh 12.3 inci jenis apung dengan resolusi 1,920x720 piksel dan cip pemproses dual-quad core yang lebih pantas. Juga diberikan memori 4GB RAM bersama kapasiti storan 32GB.
Kabin Proton X70 2025 kini diberikan lampu ambien dengan pilihan 72 warna yang akan berkelipan mengikut rentak muzik untuk meningkatkan pengalaman visual serba mewah ketika memandu.
CIRI KESELAMATAN
Model baharu kali ini dilengkapi ciri keselamatan standard dan Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS) Tahap 2 seperti:
- Enam beg udara SRS
- Brek Kecemasan Autonomi (AEB) dengan Amaran Perlanggaran Depan (FCW)
- Kawalan Jelajah Adaptif (ACC) dengan ciri Henti dan Mula (Stop and Go)
- Kawalan Jelajah Pintar (ICC)
- Amaran Keluar Lorong (LDW), Elak Keluar Lorong (LDP) dan Kawalan Pusat Lorong (LCC)
- Bantuan Tukar Lorong (LCA)
- Amaran Trafik Lintas Belakang (RCTA)
- Amaran Perlanggaran Belakang (RCW)
- Maklumat Tanda Trafik (TSI)
- Sistem Pemantau Tekanan Tayar (TPMS)
- Kamera 360 dengan paparan 3D
- Walk Away, pintu dikunci automatik apabila pemandu keluar dan beredar dari kereta.
Leave a Reply