KOLUM Hans Talk dalam portal automotif WapCar mengetengahkan penilaian mendalam dan komprehensif berhubung isu Tesla yang hangat dibincangkan di Malaysia, baru-baru ini.
Artikel itu menyentuh mengenai laporan The Nation yang mendakwa Tesla sudah menggugurkan rancangan pelaburan dalam fasiliti pembuatan di Asean, membabitkan Thailand, Malaysia dan Indonesia.
Kolumnis yang juga individu berpengalaman luas dalam landskap automotif itu bersetuju dengan segelintir netizen yang menyatakan Tesla tidak pernah mengumumkan hajat mendirikan fasiliti pembuatan di Malaysia.
Itu benar, kata Hans. Malah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz turut mengesahkan perkara tersebut. Tengku Zafrul sebagai respons berkongsi kenyataan dalam akaun Facebooknya;
MITI pun tak pernah buat pengumuman Tesla akan buka kilangnya di Malaysia. Memang kita adakan perbincangan dengan Elon Musk dalam usaha menarik pelaburan, tetapi Tesla tidak pernah membuat komitmen untuk membuka kilang di sini."
Bagaimanapun, Hans bertanya;
Ya, Tesla tidak menyatakan komitmen untuk bina sebuah kilang pembuatan di Malaysia, tetapi mendirikan pengeluaran tempatan adalah penyasaran jangka panjang untuk melanjutkan kelebihan kepada Tesla di bawah inisiatif Kenderaan Elektrik Bateri (BEV) global.
"Jika melakukan semua perkara ini tidak bawa kepada pencapaian objektif tempoh panjang dalam meraih nilai pelaburan tinggi, kenapa Malaysia perlu ambil peduli?
"Lihat dokumen MITI di bawah ini, untuk faham objektif di sebalik Malaysia melanjutkan manfaat kepada Tesla di bawah inisiatif Kenderaan Elektrik Bateri (BEV) Global.
"Zafrul menegur media kerana memetik satu berita daripada sumber tidak dinamakan di Thailand, mengatakan media harus mengesahkan berita itu dengan Tesla.
"Beliau sepatutnya tahu Elon Musk sudah memecat pasukan perhubungan awamnya, jadi tiada cara untuk mengesahkan kebenaran sebarang khabar angin mengenai Tesla, melainkan anda buat kenyataan terbuka di X (Twitter) dan tag Elon.
POLITIK DI SEBALIK TIGA ORANG TUA REBUT PERHATIAN ELON MUSK?
Hans berkata lagi;
Tanpa mempedulikan sama ada Tesla bersetuju mendirikan kilang di Malaysia atau sebaliknya, topik perlu diambil kira dalam konteks Kerajaan Thailand, Indonesia dan Malaysia adalah semua berusaha merebut perhatian Tesla, khususnya mencari pelaburan besar untuk pembuatan dan mencipta peluang kerja.
"Perbincangan dengan Elon Musk berlaku pada masa ketika Kerajaan tiga negara ini mengalami sama ada satu pilihan raya bakal berlaku, atau terdesak cuba mendapat sokongan umum yang semakin menurun.
"Menandatangani perjanjian dengan lelaki terkaya dunia adalah imej baik untuk ahli politik bermasalah."
Meneruskan hujah lebih mendalam, kolumnis itu mendakwa Perdana Menteri Thailand, Srettha (Srettha Thavisin) mengambil alih pemerintahan pada Ogos 2023 selepas memenangi saingan mengikut perundangan walaupun beliau bukan individu yang diundi majoriti warga Thailand.
Bagi meraih sokongan, pada September 2023, hanya sebulan selepas memegang tampuk pemerintahan, Srettha mengumumkan beliau sedang berbincang dengan Elon Musk, memuat naik di X, (iaitu) platform (media sosial milik) Elon.
Di Indonesia, Presiden Joko Widodo, dengan partinya PDI-P bersedia untuk satu lagi pilihan raya waktu itu, dan pada Februari 2023 mengumumkan Tesla akan memuktamad perjanjian mendirikan fasiliti pembuatan di Indonesia.
Penulis itu turut menyatakan Perdana Menteri Anwar yang mengambil alih kuasa pemerintahan pada November 2022 mengejutkan semua rakan sejawat serantau dengan membuat pengumuman pada Julai 2023 bahawa Tesla akan 'melabur' di Malaysia.
Pengumuman itu meningkatkan populariti beliau dan membolehkannya muncul dalam artikel di Fortune. Bagaimanapun, mereka yang memahami, tahu ‘pelaburan’ Tesla bukan gah untuk diperkatakan.
"Asasnya, ‘pelaburan’ Tesla di Malaysia meliputi menyewa pejabat di Cyberjaya, membuka bilik pameran (Tesla Experience Centre) di pusat beli-belah dan mendirikan rangkaian pengecasan Supercharger yang mana 30 peratus perlu dibuka kepada BEV jenama lain.
"Jika pengumuman ini dibuat mana-mana jenama kenderaan lain, ia belum tentu jadi berita bernilai tinggi untuk kebanyakan penerbitan. Suatu jenama buka pejabat di Cyberjaya, ditambah sebilangan stesen pengecas, buka bilik pameran dalam pusat beli-belah. Apa nilai sumbangan sebegini?"
Sehingga kini, Tesla sudah mendirikan 10 lokasi Supercharging (48 pengecas pantas DC) dan 11 stesen Destination Charger (57 pengecas standard AC). Bagaimanapun, masih tiada satu pun dibuka kepada jenama lain.
Penulis juga mengatakan Tesla juga belum membuat pelaburan mendirikan fasiliti baik pulih dan cat kenderaan sendiri di Malaysia, iaitu servis paling asas untuk pelanggan yang membeli kenderaan daripada pengimport rasmi.
Sebaliknya, jenama Amerika Syarikat (AS) itu melantik pihak ketiga untuk melakukan kerja baik pulih kerosakan akibat kemalangan.
Kolumnis itu menjelaskan;
Matlamat memberikan keistimewaan khas kepada Tesla atau mana-mana pengeluar tanpa mengira industri, sudah tentu untuk (menarik) pelaburan bernilai tinggi dan mencipta pekerjaan.
"Menyewa satu pejabat di Cyberjaya dan buka kedai di pusat beli-belah itu bukan pelaburan bernilai tinggi.
"Semasa Kementerian Kewangan dan MITI mengecualikan cukai import dan eksais untuk kenderaan bateri elektrik (BEV), ini dilakukan dengan matlamat merangsang permintaan untuk pemasangan tempatan (CKD)."
KAWAN BAIK AUTOMOTIF DISISIH?
Tesla juga satu-satunya jenama kenderaan yang diberikan keistimewaan khas, iaitu dikecualikan syarat keperluan Francais AP (permit import).
Menurut Hans;
Masalah untuk Malaysia tidak sama seperti di Thailand atau Indonesia, dengan melanjutkan keistimewaan khas hanya untuk Tesla, kita sudah asingkan banyak kawan lama yang menyokong pembuatan automotif Malaysia sejak berdekad.
"Syarikat yang berbelanja ratusan juta ringgit dalam mendirikan kilang dan membangunkan vendor tempatan, beroperasi selama beberapa dekad, membekalkan peluang kerja dan peningkatan kemahiran ramai pekerja muda tempatan, semua diketepikan kerana kepentingan Tesla."
Antara contoh diberikan adalah:
- Mercedes-Benz Malaysia: membina model EQS di Pekan, Pahang
- Volvo Car Manufacturing Malaysia: membina model XC40 Recharge dan C40 Recharge di Shah Alam, Selangor.
- BMW Group Malaysia: tidak membina kenderaan BEV di sini, tetapi membeli kabel voltan tinggi (untuk kegunaan model PHEV buatan tempatan) dan abah-abah (harness) pendawaian daripada vendor tempatan dan mengeksport enjin dan kereta keluaran kilang Kulim ke Thailand dan Filipina.
- BMW juga satu-satunya pengeluar yang ada proses mengumpul dan kitar semula bateri.
Bagaimanapun, Hans menjelaskan pengeluar di atas bukan melakukan pembuatan sebenar di Malaysia, tetapi sebahagian besar pengeluar Eropah menjalankan aktiviti pemasangan separa tempatan (SKD), tetapi terma CKD kerap digunakan kerana SKD tidak wujud dalam kertas polisi industri di Malaysia.
Malah pengeluar volum rendah jenama Eropah itu juga tidak melabur dalam kimpalan badan dan kedai cat di fasiliti pembuatan masing-masing.
Selain Proton-Geely, pihak yang paling banyak membuat pelaburan di Malaysia ialah Daihatsu (Perodua), Toyota dan Honda. Hans berkata;
Semua syarikat ini membuat pengeluaran penuh end-to-end, mencetak panel badan keluli daripada kepingan gegelung logam mentah dan membina semuanya dari kerusi hingga papan pemuka, enjin dan transmisi (Toyota dan Perodua di Sendayan) di sini.
"Dengan memberi kelebihan kepada Tesla, kita mengetepikan rakan-rakan setia automotif Malaysia, syarikat yang membantu kita mengharungi kemelesetan ekonomi berkali-kali dan tidak meninggalkan Malaysia ketika pasaran merosot."
Kenyataan Tengku Zafrul mempertahankan keputusan MITI juga dibangkitkan Hans. Berikut kenyataan Menteri MITI;
Tujuan inisiatif ini (inisiatif Global BEV) adalah meningkatkan rangkaian pengecas untuk kegunaan pemilik EV tempatan dan juga meningkatkan penyertaan syarikat tempatan dalam ekosistem pengecasan EV.
"Melalui program serupa, negara seperti China, Hong Kong, dan Norway mempercepat peralihan kepada EV. Apabila ini berlaku, banyak PKS tempatan mendapat manfaat daripada penyertaan dalam ekosistem EV.
"Setakat ini, hanya Tesla yang sudah memohon dan diluluskan penyertaan dalam inisiatif Global BEV, tetapi kita mengalu-alukan penyertaan pembuat EV lain.
"Jadi, bila kata Tesla dapat layanan istimewa, tak betul tu, mana-mana syarikat pun boleh memohon untuk inisiatif ini."
INISIATIF GLOBAL BEV HANYA UNTUK TESLA?
Meneruskan hujah, Hans berpendapat walaupun promosi inisiatif BEV yang dibuka kepada semua pengeluar, tetapi hanya Tesla yang akan layak.
Beliau berkata;
Zafrul menyatakan inisiatif Global BEV dibuka kepada semua pihak, tetapi sehingga kini, hanya Tesla yang memanfaat daripadanya. Ini membangkitkan persoalan, mengapa pengeluar automotif lain tidak memohon penyertaan?"
"Seorang veteran eksekutif industri automotif berkata: “Inisiatif ini direka untuk Tesla. Syarat diarah khas untuk Tesla.”
Berhujah lebih mendalam, kolumnis itu mendakwa BYD, Hyundai dan peneraju pengeluar BEV global lain yang sudah mengesahkan rancangan mendirikan kilang pembuatan BEV di Thailand dan Indonesia tidak layak untuk menerima manfaat seperti Tesla.
Bagi melayakkan diri, pengeluar perlu memenuhi kriteria berikut:
- Syarikat pemohon adalah pengeluar BEV yang menunjukkan kemajuan signifikan dalam peningkatan jualan dalam tempoh lima tahun terakhir (bermaksud sejak 2018).
- Syarikat pemohon perlu ada sekurang-kurangnya satu kilang bateri minimum kapasiti 1GWh
- Syarikat pemohon perlu memiliki teknologi pengecasan ultra pantas tersendiri, dengan kapasiti melebihi 180kWh.
Hans menjelaskan:
Kriteria membabitkan peraturan pertama dan kedua menyingkirkan banyak pengeluar bukan China. Selain Tesla, BYD dan GWM (SVolt), kebanyakan pengeluar membeli bateri mereka daripada syarikat lain.
"Syarat ketiga pula menyingkirkan semua kenderaan bukan jenama Tesla. Tidak ada syarikat (automotif) yang memiliki teknologi pengecasan tersendiri. Malah BYD juga tidak mengendalikan rangkaian pengecasan tersendiri.
"Jangan keliru dengan keperluan teknologi pengecasan ultra pantas yang dimiliki pengeluar dengan stesen pengecasan berjenama pengeluar. Yang terakhir itu tidak layak.
"Apa yang dipanggil inisiatif Global BEV itu adalah farsa dan digubal semata-mata untuk mempercepat kemasukan Tesla dan hanya Tesla ke Malaysia
"Sebagai pulangan, Malaysia tak dapat apa-apa nilai daripada Tesla selain sewaan pejabat dan lot kedai dan stesen Supercharger di kawasan bandar kepadatan tinggi yang mana pemilik BEV tidak memerlukannya.
"Pengecas pantas diperlukan di sepanjang lebuh raya khususnya Pantai Timur Semenanjung Malaysia, serta Sabah dan Sarawak. Bukan di kawasan bandar."
SUMBER: WapCar
Leave a Reply