LEONARDO Da Vinci melakarkan sistem transmisi variabel berterusan (CVT) pertama pada 1459. Kemudian, pengeluar Belanda, DAF mula menggunakan CVT untuk kenderaan pada lewat 1950-an, tetapi kekangan teknologi membuatkan CVT tidak sesuai digunakan untuk enjin melebihi 100hp.
Pada lewat 1980-an dan awal 1990-an, Subaru menawarkan CVT untuk kereta mini Justy, manakala Honda memperkenalkan teknologi itu untuk model Civic HX pada lewat 1990-an. Penambahbaikan CVT, yang mampu menampung lebih kuasa enjin, mula dibangunkan pada lewat 1990-an.
Menjelang 2000-an, penggunaan CVT sudah diperkenalkan pada model-model keluaran pengeluar ternama antarabangsa seperti Nissan, Audi, Honda, Mitsubishi dan lain-lain.
TEKNOLOGI CVT SEMAKIN BAIK
Disebabkan fasa awal CVT yang terhad kepada seberapa banyak kuasa kuda yang dapat ditampung, wujud kebimbangan umum tentang tahap realibiliti CVT. Bagaimanapun, teknologi termaju yang dibangunkan pada masa kini membuatkan CVT mampu beraksi semakin lasak.
Pengeluar dari Jepun, Nissan misalnya, sudah mengeluarkan lebih sejuta model CVT ke seluruh dunia dan mendakwa tahap realibiliti yang dimiliki teknologi itu pada kereta mereka adalah setanding dengan transmisi konvensional. Bagaimanapun, model Almera masih menggunakan sistem transmisi automatik konvensional 4-kelajuan (sekadar makluman).
BACA >>> Lakukan 5 Tabiat Ini Jika Mahu Transmisi Dual-Klac (DCT) Anda Rosak
POWER SPLIT: CVT YANG BUKAN CVT
Beberapa model hibrid, termasuk famili Prius, menggunakan jenis transmisi dipanggil transmisi pecahan-kuasa atau Power-Split. Dengan kuasa seperti CVT, teknologi ini tidak menggunakan aturan tali sawat (belt) dan puli (pulley). Sebaliknya, menggunakan set gear planet (planetary gear set) untuk enjin petrol dan motor elektrik bagi menghasilkan input.
Jadi, dengan mengubah kelajuan motor elektrik, kelajuan enjin petrol juga diubah, sekali gus membolehkan enjin bergerak dalam kelajuan tetap ketika memecut atau berhenti sepenuhnya.
CVT DALAM KERETA NASIONAL
Proton ialah pengeluar nasional pertama menggunakan CVT yang mula diperkenalkan menerusi model Saga FLX (2011-2016), sebelum disusuli Preve pada 2012 dan Iriz (2014) dengan ciri pemasaan injap variabel (VVT). Penggunaan enjin CVT boleh dianggap fasa paling mencabar bagi Proton kerana mengundang pelbagai reviu, maklum balas dan kritikan negatif mengenai transmisi itu. Apatah lagi majoriti pengguna kereta Malaysia masih baru dan kurang pengetahuan tentang karakter CVT, ditambah pula timbul pelbagai isu teknikal.
Namun, Proton mengambil langkah positif dengan melakukan penambahbaikan ke atas sistem CVT sedia ada. Hasilnya, kesan perbezaan ketara dapat dirasai pada model Persona dan Saga baharu yang dilancarkan tahun lalu. Apa dilakukan Proton itu bolehlah dianggap fasa ketiga pembangunan Proton selepas era rebadge Mitsubishi dan penghasilan model buatan sendiri pertama (bermula Gen-2). Malah Proton turut cuba menambah elemen keselamatan tinggi pada setiap model-modelnya.
Ramai berkata, jika Proton oportunis dan mahu mengambil jalan selamat, mereka sepatutnya kekal saja dengan sistem automatik konvensional. Tetapi Proton bertindak melawan arus walaupun terpaksa berdepan dengan pelbagai sentimen dan persepsi umum.
Kini, sama ada sedar atau tidak, Proton sebenarnya sudah meletakkan penanda aras tertentu tentang cita rasa automotif gaya Malaysia. Kemajuan dicapai Proton secara tidak langsung turut membuatkan pengeluar lain perlu melakukan sesuatu supaya kekal relevan. Apakah keputusan menggunakan teknologi CVT adalah tepat bagi Proton? Terpulang kepada kita untuk membuat penilaian jujur.
BACA >>> Bagaimanakah Transmisi Variabel Berterusan (CVT) Bekerja?
Leave a Reply