SECARA purata, 67 orang termasuk pelajar dilaporkan maut dalam nahas jalan raya di kawasan sekolah setiap tahun.
Statistik itu didedahkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum mengumumkan cadangan menurunkan kadar halaju di kawasan sekolah.
Ahmad Zahid berkata;
Purata kematian ialah 67 kematian setiap tahun di kawasan sekolah. Apa dicadangkan jawatan kuasa ini (Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya - JKMKKJR) adalah menurunkan halaju kepada 30kmj di kawasan sekolah.
"Dan juga menyediakan bonggol (di kawasan sekolah) tanpa melibatkan peruntukan tambahan daripada mana-mana Kementerian, tetapi pihak PBT (pihak berkuasa tempatan) dan pihak sekolah boleh bekerjasama untuk melakukannya (bina bonggol)."
Beliau menjelaskan, mesyuarat JKMKKJR ada mengadakan perbincangan penetapan kelajuan maksimum 30kmj di kawasan sekolah sebagai inisiatif meningkatkan tahap keselamatan jalan raya untuk pengguna jalan raya berisiko tinggi, termasuk golongan kanak-kanak.
Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan 322 kes kemalangan, termasuk kematian direkodkan di kawasan sekolah sepanjang tahun lalu.
Ahmad Zahid berkata lagi;
Kadar semasa had laju ialah 40kmj, secara relatifnya berdasarkan dapatan kajian antarabangsa, sekiranya
kelajuan dikurangkan 1kmj, ia mampu mengurangkan 4 hingga 5 peratus kematian."Jika purata kelajuan dikurangkan 5 peratus, berupaya mengurangkan risiko kemalangan maut sebanyak 30 peratus.
"Mesyuarat bersetuju penetapan dasar had kelajuan 30kmj di kawasan sekolah. Bagaimanapun, satu Pasukan Petugas perlu diwujudkan bagi menetapkan jangka masa yang sesuai, mengenal pasti zon mula dan tamat dan mewartakan had kelajuan di kawasan sekolah.
"Sebagai satu tanggungjawab sosial, saya berharap Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bersedia mewujudkan kolaborasi antara sekolah dan PIBG (Persatuan Ibu Bapa dan Guru) untuk membina bonggol bagi mengurangkan kelajuan kenderaan supaya pelaksanaan 30kmj lebih berkesan."
Leave a Reply