KERAJAAN amat serius melaksanakan Permit Masuk Kenderaan (VEP) bermula 1 Oktober ini dan tidak akan membuat pusingan-U terhadap pendirian tersebut.
Perkara itu dinyatakan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dengan memberi amaran keras kepada pemandu kenderaan asing supaya patuh kepada undang-undang jalan raya Malaysia.
Beliau berkata:
Tak ada U-turn, akan berkuat kuasa 1 Oktober ini. Mesej amat jelas. Saya harap pemandu-pemandu Singapura yang masuk ke Malaysia… kami mengalu-alukan mereka tetapi mereka perlu patuhi undang-undang kita.
"Sama macam kereta Malaysia masuk ke Singapura. Kita kena patuh kepada peraturan dan undang-undang mereka. Jadi, mereka (pemandu Singapura) sepatutnya ikut perkara sama.
"Kalau masuk dan kalau kamu memandu laju, anda perlu bayar saman. Ada sebilangan daripada mereka memiliki banyak saman. Buat masa ini tanpa VEP, tidak ada cara untuk kami mengesan mereka serta menguatkuasa (tindakan) undang-undang.
"Sebaik sahaja VEP berkuat kuasa, mana-mana kenderaan asing masuk Malaysia dan jika mereka melanggar undang-undang, mereka perlu bayar saman sebelum meninggalkan negara."
Loke menjelaskan perkara itu pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pengusaha Pusat Latihan Memandu Malaysia Ke-4 di Putrajaya petang tadi.
Sebelum ini, Kerajaan menetapkan semua kenderaan asing dari Singapura diwajibkan mempunyai VEP bermula 1 Oktober ini. Penguatkuasaan VEP bertujuan memastikan pengguna jalan raya patuh sepenuhnya terhadap peraturan jalan raya di Malaysia.
Peraturan VEP dikuatkuasa untuk pintu masuk di kedua-dua kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Johor iaitu:
- Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Tambak Johor
- Bangunan Sultan Abu Bakar di Link Kedua Malaysia-Singapura
Leave a Reply