MODEL Black Edition sudah menjadi ikutan pengeluar kereta masa kini tanpa mengira jenama kebanyakan atau mewah.
Ini pula tawaran terbaru dari Kia UK, yang bukan Black Edition, tetapi model edisi khas 'Shadow' untuk tiga model serentak, iaitu Picanto, Stonic dan Sportage.
Jika Black Edition menggunakan komponen dan kemasan gelap, Shadow daripada Kia pula tampil dengan tona dalaman dan cat premium eksklusif.
Shadow bukan baru 'timbul', tetapi sudah digunakan Kia sejak beberapa tahun lalu. Shadow edisi 2024 diasaskan daripada varian 3 setiap model yang sudah dilengkapi pelbagai ciri standard.
1. Kia Picanto Shadow
Kia Picanto generasi ketiga sudah lama di pasaran sejak 2017. Walaupun lama, Kia memberi nafas baharu pada Julai 2023 dengan rupa depan dan belakang segar ibarat model baharu.
Sempena ulang tahun ke-20 Kia di Britain tahun ini, Picanto pada Ogos 2023 melepasi angka jualan 250,000 unit. Berikut spesifikasi Kia Picanto Shadow:
- Dijana enjin petrol 1.2L berkuasa 77hp dan pilihan transmisi manual atau automatik manual (AMT).
- Dengan tambahan £500 (RM2,997) berbanding Picanto 3, pelanggan dapat bergaya dengan pilihan warna premium seperti Adventurous Green (hijau), Astro Grey (kelabu) atau Midnight Black (hitam).
- Harga ditawarkan pada £18,045 (RM108,195) untuk manual dan £18,745 (RM112,380) untuk AMT.
2. Kia Stonic Shadow
Kia Stonic ialah nama asing di Malaysia, ]tetapi tidak di Eropah dan pasaran lain seperti China (KX1) dan Pakistan.
Stonic juga dikeluarkan sejak 2017 dan model khas terakhir diperkenal di Britain pada 2022. Berbanding varian 3, Kia Stonic Shadow dilengkapi:
- Rim aloi 17 inci warna kelabu khas.
- Pilihan warna badan seperti Midnight Black (hitam), Astro Green (hijau) dan Smokey Blue (biru) yang baharu untuk model ini.
- Ruang dalam dihiasi sulaman biru pada kerusi dan stereng dan aksen biru pada konsol tengah.
- Dijana enjin hibrid ringan (MHEV) 1.0L berkuasa 98hp dan ditawarkan dalam pilihan tranamisi manual pada harga £22,995 (RM137,885) dan dual-klac (DCT), £23,995 (RM143,880).
3. Kia Sportage Shadow
Kia Sportage bukan nama asing dalam kalangan pengguna tempatan, kecuali generasi kelima yang dikeluarkan sejak 2021.
Pengguna di Britain sangat menggemari Sportage hingga kenderaan utiliti sukan (SUV) ini menduduki ranking ketiga kereta terlaris di negara itu pada suku pertama tahun ini.
Fakta lain, Sportage bukan saja digemari di Britain, tetapi juga menjadi model Kia paling popular Eropah dan antarabangsa. Rekabentuk Sportage memang unik dengan lampu depan tersendiri, dan didatangkan dalam dua saiz, iaitu jarak roda pendek (SWB) untuk Eropah dan panjang (LWB) untuk Amerika Utara dan beberapa negara lain.
Berikut spesifikasi Kia Sportage Shadow:
- Dijana enjin hibrid 1.6L dengan kemasan krom gelap pada bampar depan dan belakang serta pendakap badan sisi.
- Trim tingkap dan spoiler dibuat dalam warna hitam kilat.
- Ditawarkan pilihan warna badan Experience Green (hijau), Phantom Black (hitam) dan Wolf Grey (kelabu).
- Ruang dalaman menggunakan pek Midnight Green baharu.
- Harga ditawarkan £36,485 (RM219,220), sama seperti Sportage 3 hibrid.
Leave a Reply