PEMBACA PanduLaju yang berkunjung ke Malaysia Auto Show 2024 dapat merasakan aura kehebatan kenderaan jenama China dalam negara.
Ini bukan pujian kosong kerana memang ada model menawan yang menunjukkan kemajuan kenderaan buatan China hingga jenama lain seakan tenggelam. Walaupun pasaran China menjadi lubuk kenderaan dengan jualan tertinggi dunia, pengeluar kereta legasi tidak boleh merasa selesa dengan pelbagai model baharu bertali-arus dilancarkan di sana.
Antara pengeluar yang sudah menari mengikut rentak ialah Honda menerusi pengenalan dua model kenderaan utiliti sukan (SUV) elektrik e:NP2 dan e:NS2.Dua model kembar, iaitu e:NP2 daripada GAC Honda dan e:NS2 daripada Dongfeng Honda yang mana kedua-dua pengeluar tempatan itu menjalinkan usahasama dengan Honda di China.
Model konsep pernah ditayangkan tahun lalu sebelum dijual kepada pelanggan pada Jun tahun ini. Honda sebenarnya ada sepasang lagi kembar, iaitu e:NP1 dan e:NS1 yang diperkenal pada 2022.
Honda merancang memperkenalkan 10 kenderaan elektrik (EV) di China menjelang 2027 dan mahu 100 peratus jualan di China diwakili EV menjelang 2035.
Berbalik kepada e:NP2 dan e:NS2, kedua-dua model itu tampil segak dengan gaya yang lazim untuk pasaran China. Ini antara sebab kenapa penulis mengatakan Honda sudah menari mengikut rentak di China.
- Honda e:NP2 membawa gaya linear dan jelas, manakala Honda e:NS2 mempamerkan rekabentuk beremosi.
- Lampu depan e:NP2 jenis sepit ketam turut diulang pada lampu belakang. e:NS2 pula menggunakan lampu jenis air mata pada bahagian depan dan belakang yang merupakan trend terkini.
- Dua model EV ini memiliki dimensi setara Tesla Model Y dengan panjang 4,788mm, lebar 1,838mm, dan tinggi 1,57mm.
- EV ini dibina berasaskan paltform e:N Architecture F, iaitu antara platform khas untuk siri e:N Honda.
- Jarak pemanduan e:NP2 sehingga 545km mengikut piawaian Kitaran Ujian KenderaanKerja Ringan China (CLTC).
- Bahagian dalaman, kedua-dua model dilengkapi sistem paparan dongak (HUD) bersaiz besar.
- Ada corak pencahayaan yang bertukar mengikut fungsi kereta.
- Unit infotainment bersaiz 12.8 inci dilengkapi sistem operasi (OS) Honda CONNECT 4.0, iaitu teknologi konektiviti yang direka khusus untuk EV Honda di China.
- Bagi meningkatkan keselesaan musim sejuk, kedua-dua model EV itu dipasangkan Sistem Pemanasan Pintar (IHS) bagi meminimum penggunaan kuasa melalui pelbagai kaedah seperti kawalan bersama antara unit penyaman udara dan ciri pemanasan terbina dalam lain.
- e:NP2 dan e:NS2 adalah antara model Honda terawal yang menggunakan sistem ini.
- Dua model ini juga menjadi model Honda pertama menggunakan sistem aroma yang mana penumpang boleh memilih wangian digemari melalui skrin unit infotainment atau aplikasi telefon pintar, dan kemudian akan meresapi seluruh ruang kabin.
Leave a Reply