LOTUS sebentar tadi baru saja melancarkan dua model paling terkini jenama itu, 3-Eleven dan Evora Sport 410 untuk pasaran Malaysia bertempat di bilik pameran Lotus Cars Malaysia dekat Damansara, Kuala Lumpur yang dirasmikan Pengerusinya, Dato' Ahmad Fuaad Kenali.
Berikut fakta menarik mengenai dua model sport buatan Britain itu.
LOTUS 3-ELEVEN
- Cuma 311 unit dihasilkan seluruh dunia dalam setahun.
- Dua daripada pemilik awal Lotus 3-Eleven ialah orang Malaysia.
- Dua varian ditawarkan, Road (sah atas jalan) dan Race (sah dalam trek lumba sahaja).
- Penggunaan material komposit ultra ringan mengurangkan berat badan kereta hingga 40 peratus berbanding model terdahulu, 2-Eleven.
- Sayap belakang (terma Malaysia: spoiler) dan bar pelindung diberikan sebagai aksesori standard untuk kedua-dua varian.
- Tiada pintu untuk masuk ke dalam kokpit. Anda perlu melangkah, melompat atau terjun dari atas tiang bomba (sekadar contoh).
- Varian Race diberikan bar pelindung tambahan, kerusi lumba spesifikasi Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA), tali keledar lumba 6-poin, pemadam api dan 'suis mati' (kill switch).
- Sebagai pengetahuan, 'suis mati' bukan untuk bunuh diri atau bunuh orang, tetapi digunakan untuk mematikan cas elektrik daripada bateri. Penting sebagai ciri keselamatan jika berlaku kemalangan.
- Kluster instrumen TFT gaya perlumbaan boleh diubah mod daripada standard kepada litar.
SPESIFIKASI LOTUS 3-ELEVEN
ENJIN 3.5L V6 supercaj Edelbrock
TRANSMISI Manual 6-kelajuan nisbah rapat (Road), 6-kelajuan sekuensial dengan pedal anjakan sebagai opsyen (Race)
KUASA MAKSIMUM 410hp @ 7,000rpm; 460hp (Race)
TORK MAKSIMUM 410Nm @ 3,000 - 7,000rpm; 525Nm (Race)
0-100KMJ 3.4 saat; Kurang 3 saat (Race)
KELAJUAN MAKSIMUM 290kmj; 280kmj (Race), lebih perlahan kerana kit aero.
SUSPENSI Double-wishbone independen penuh, bar anti-oleng tetap, sprinh Eibach dan peredam boleh laras tunggal Ohlins
TAYAR Michelin Pilot Super Sport 225/40/ZR18 (depan); 275/35/ZR19 (belakang); Michelin Pilot Sport Cup 2 (Race)
BREK Cakera 332mm kaliper brek 4-piston AP Racing
HARGA RM640,855 (Road)
LOTUS EVORA SPORT 410
- Cuma 150 unit dihasilkan untuk pasaran global dalam setahun.
- 410 juga merujuk kepada kuasa kuda maksimum, 410hp dan tork maksimum 410Nm.
- Boleh dianggap sebagai model Lotus Evora 400 yang dibuaskan dengan 10hp lebih berkuasa.
- Desain, material, komponen dan talaan enjin disemak semula untuk dapatkan lebih prestasi optimum.
- 70kg lebih ringan berbanding Evora 400 dengan berat keseluruhan 1,325kg untuk manual (MT) dan 1,337, automatik (AT).
- Penggunaan banyak material gentian karbon seperti difuser belakang, spliter depan, panel bumbung, but, kerusi sport, dan panel akses depan.
- Bahagian belakang direka bersepadu dengan badan, memberikan 15 peratus dayabawah (downforce) lebih baik.
- Sistem suspensi ditala semula, 5mm lebih rendah.
- Catatan masa lap terpantas, 1 minit 28 saat di Litar Hethel, trek ujian Lotus, 3 saat lebih pantas berbanding Evora 400.
- Ada punat mod Sport dan Race untuk dapatkan talaan prestasi menerusi sistem Pengurusan Prestasi Dinamik (DPM) Lotus.
- Kemasan kulit Alcantra pada kerusi, roda stereng dan konsol tengah.
- Sistem infotainment bersepadu dengan sambungan iPod dan Bluetooth.
SPESIFIKASI LOTUS EVORA SPORT 410
ENJIN 3.5L V6 supercaj Edelbrock, 24-injap
TRANSMISI Automatik 6-kelajuan; Manual 6-kelajuan dengan LSD jenis Torsen
KUASA MAKSIMUM 410hp @ 7,000rpm
TORK MAKSIMUM 420Nm @ 3,500rpm
0-100KMJ 4.1 saat (AT); 4.2 saat (MT)
KELAJUAN MAKSIMUM 285kmj (AT); 305kmj (MT)
SUSPENSI Double-wishbone independen aluminium tempa, bar anti-oleng, spring Eibach dan peredam Bilstein.
TAYAR Michelin Pilot Sport 235/35 R19 (depan); 285/30 R20 (belakang)
HARGA RM640,999 (MT); RM651,999 (AT)
Leave a Reply