TUJUH lagi usahawan automotif bakal membuka pusat servis kenderaan di Terengganu menjelang akhir tahun ini.
Mereka adalah peserta Program Pembangunan Usahawan Automotif MARA-PETRONAS (PUMP). Program itu memperuntukkan RM2.5 juta untuk menjayakan pembukaan tujuh premis tersebut.
Untuk program PUMP di Terengganu, MARA meletakkan sasaran 10 cawangan dan tiga daripadanya sudah beroperasi di Kuala Nerus, Kemaman dan Dungun.
PUMP ialah satu program khas berstruktur merangkumi latihan keusahawanan, pembiayaan perniagaan, khidmat nasihat serta pemantauan berkala daripada Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan PETRONAS.
Kerjasama antara MARA bersama PETRONAS Lubricants Marketing (Malaysia) Sdn Bhd (PLMM) itu menguatkan peranan MARA dan PETRONAS untuk memperkasakan ekonomi Bumiputera terutamanya dalam bidang automotif.
Berdasarkan kenyataan MARA, seramai 55 usahawan dipilih daripada 120 peserta yang menghadiri ke taklimat dan temuduga yang diadakan pada Ogos 2022 untuk zon pantai timur (Terengganu, Kelantan dan Pahang).
Kenyataan itu menyatakan:
Secara keseluruhan, MARA memperuntukkan RM185 juta untuk melaksanakan program-program keusahawanan yang memberi manfaat kepada 1,452 usahawan di Malaysia.
"Bagi program automotif, sebanyak RM7.4 juta peruntukan sudah diluluskan dan memberi manfaat kepada 60 usahawan.
"MARA juga memperuntukkan RM15 juta yang memberi manfaat kepada 35 usahawan dengan memiliki 46 cawangan di bawah jenama PUMP.
"Keberhasilan ini sangat memberangsangkan dan memberi impak tinggi apabila nilai jualan usahawan di bawah PUMP mencecah RM50 juta dengan 320 peluang pekerjaan kepada penduduk setempat."
Ketua Pegawai Eksekutif PLMM, Zameer Zahur Hussain berkata:
Kami sangat berbesar hati dengan pelancaran cawangan terbaru PETRONAS AutoExpert di Kuala Terengganu ini.
"Umum mengetahui bahawa di Pantai Timur khususnya, nama PETRONAS sangat terkenal dan mempunyai ramai pengikut serta penggemar.
"Sokongan terhadap jenama ini bersama pengusaha tempatan tiada berbelah bagi. Dengan jaminan kualiti kerja serta mutu tertinggi minyak pelincir PETRONAS Syntium, pelanggan-pelanggan PETRONAS AutoExpert pasti akan merasai pengalaman baru yang menyenangkan.”
Dalam perkembangan berkaitan, MARA mensasarkan 20 cawangan PUMP akan dibuka di seluruh Malaysia pada tahun ini.
Leave a Reply