LAND Rover dalam dunia kenderaan pacuan empat roda (4WD) atau 4x4 ibarat aur dan tebing yang tidak boleh dipisahkan. Sedar tidak sedar, jenama ikonik itu sudah mencecah usia 69 tahun sejak pertama kali diperkenalkan di Pameran Motor Antarabangsa Amsterdam (AutoRAI) pada 30 April 1948.
Sepanjang tempoh tujuh dekad itu, rasanya tiada ceruk bumi ini yang tidak pernah dikunjungi Land Rover. Jadi, bagi meraikan ulang tahun ke-70 tahun pada 30 April 2018 (tahun depan), Land Rover bakal mengeluarkan buku peringatan berjudul 'Icon' yang memuatkan kisah-kisah ekspedisi membabitkan model Series dan Defender serata dunia.
Buku tersebut turut mengumpulkan pelbagai foto lama, temuramah individu di sebalik model berkenaan daripada operator pengeluaran hingga pemilik kereta. Lebih menarik, ada juga kalangan mereka yang terlibat dengan Defender generasi baharu, seperti Ketua Pegawai Pereka (CDO), Gerry McGovern dan Pengarah Eksekutif Kejuruteraan Produk, Nick Rogers. Kedua-dua mereka akan berkongsi kenapa Defender ialah model yang sangat istimewa.
FOTO DAN CERITA MENARIK
Menambah lagi perasa buku itu ialah prakata ditulis selebriti permotoran, Richard Hammond yang kini terlibat dalam rancangan The Grand Tour bersama dua rakan pengacara terkenal Top Gear, Jeremy Clarkson dan James May. Malah, selebriti lain seperti pengacara TV rancangan survival Man vs Wild, Bear Grylls dan pereka bilionair, Ralph Lauren turut dipaparkan.
Icon menyenaraikan 10 bab dalam 200 muka surat yang menghimpunkan aneka model Series dan Defender, termasuk kisah menarik sejak 69 tahun lalu. Jika berminat, anda boleh dapatkan buku menarik itu dengan membeli terus daripada laman web Land Rover.
Icon dijual pada harga £50 (RM281).
Leave a Reply