PROTON mencatat jualan sebanyak 11,025 unit kenderaan (termasuk eksport) sepanjang April 2024 iaitu kenaikan 17.1 peratus lebih tinggi berbanding bulan sama tahun sebelumnya (9,415 unit).
Malah jualan terkumpul empat bulan tahun ini sudah mencapai 50,175 unit memintas pencapaian jualan Januari-April 2023 (49,702 unit).
EKSPORT POSITIF
- Statistik eksport menunjukkan kenaikan 38.5 peratus iaitu 835 unit untuk tempoh empat bulan pertama tahun ini. Jumlah eksport tempoh sama tahun lalu cuma 603 unit.
- Model eksport paling tinggi ialah Saga (427 unit) diikuti Proton X50 (176 unit) dan Proton S70 (89 unit).
PENCAPAIAN PROTON SEPANJANG APRIL 2024
- Proton X50 kembali menguasai kategori kenderaan utiliti sukan (SUV) segmen B dengan merekodkan jualan 1,642 unit pada sepanjang April lalu.
- Proton S70 mengekalkan kedudukan nombor satu dalam sedan segmen C untuk tempoh empat bulan berturut-turut. Jumlah jualan adalah sebanyak 1,635 unit pada April lalu dan jualan terkumpul mencecah 7,463 unit.
- Model paling laris masih Proton Saga dengan 5,031 unit dijual sepanjang April lalu. Jualan terkumpul tahun ini ialah 23,278 unit.
Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah berkata:
Penurunan jualan automotif pada bulan April, di mana TIV menyusut sebanyak 16.8 peratus berbanding Mac 2024, mungkin disebabkan oleh tempoh cuti panjang sambutan Hari Raya Aidilfitri di mana OEM, pengedar, dan pengusaha dalam ekosistem automotif tempatan lain tidak beroperasi sempena cuti.
"Bagaimanapun, permintaan berterusan untuk model Proton diperkukuh lagi oleh usaha berterusan dalam penambahbaikan kualiti dengan skor Audit Produk Pelanggan Global (GCPA) yang lebih baik sejak 2019, menanamkan keyakinan yang lebih tinggi dalam kalangan pemandu.
"Jualan eksport kekal sebagai tonggak penting kepada matlamat jangka panjang Proton dan dengan S70 meningkatkan jualannya dalam pasaran domestik serta eksport. Kami yakin dapat mencapai pertumbuhan jualan eksport yang mampan tahun ini dan meningkatkan sumbangan jualan eksport kepada jumlah jualan tahunan kami.
"Tahun ini, kami menambah Trinidad dan Tobago ke dalam portfolio eksport kami dan mengukuhkan semula kedudukan kami di Bangladesh.
"Proton yakin pasaran akan melonjak kerana masih terdapat banyak permintaan daripada pembeli kereta. Ini adalah penting bagi kami untuk terus melakukan yang terbaik, memastikan kecemerlangan dalam setiap usaha yang dijalankan."
Leave a Reply