PENGGUNA di Amerika Syarikat yang meminati kenderaan utiliti sukan (SUV) Honda mempunyai banyak pilihan, dari HR-V sehingga Passport.
Jika mahu sesuatu lebih premium, Acura juga mempunyai pilihan yang baik. Bukan sahaja premium malah tampil sporty seperti Acura MDX yang berada di dalam generasi keempat selepas dilancar pada 2020.
Satu lagi, MDX mempunyai tiga baris tempat duduk. Usia MDX telah sampai untuk dipertingkat dan Acura memperkenal model tahun (MY) 2025 dengan perubahan luar dan dalam serta kelengkapan baharu.
MDX dan MDX A-Spec digerakkan enjin 3.5 liter V6 dengan kotak gear automatik 10-kelajuan yang menghasilkan 290 kuasa kuda (hp) dan tork 362Nm. Pelanggan boleh memesan MDX dengan pacuan dua atau semua roda.
MDX Type S pula lebih berkuasa dengan enjin 3.0 liter turbo (skrol berkembar) V6 yang memiliki 355 hp dan tork 480Nm.
Kotak gear 10-kelajuan jenis talaan sport dan hanya menggunakan pacuan SH-AWD selain mod Sport+ khusus untuk Type S.
Sistem pacuan itu bias kepada roda belakang dan boleh mengagihkan sehingga 70 peratus daya kilas ke belakang dan 100 peratus daripadanya ke roda sebelah luar.
Dari segi pengendalian, Type S juga lebih istimewa dilengkapi ampaian udara dan Sistem Damper Adaptif. Sistem brek MDX Type S lebih berprestasi dengan bahagian depan dari Brembo.
Bar penstabil pun berbeza, bahagian depan MDX menggunakan saiz 31.8 x 5 milimeter (mm) dan 21.7 x 4 di belakang. MDX Type dipasang bar 30.5 di depan dan 20.0 x 3.5 di belakang.
Dari segi rekaan, rupa depan MDX 2025 berbeza daripada sebelumnya dan bukan setakat perubahan ringkas.
Rupa depan menggunakan jeriji corak berlian yang direka baharu dan bampar dengan permukaan berlekuk dan ala tiga dimensi (3D). Lampu besar LED JewelEye® dan lampu nyalaan siang LED 'Chicane' mengapit jeriji baharu.
Rim 20 inci untuk A-Spec, Technology Package dan Advance Package turut direka semula. MDX A-Spec pula lebih bersahaja dan berkongsi rupa depan dengan MDX Type S.
Type S menggunakan rim 21 inci Berlina Black baharu dengan kemasan mesin dan terus dibezakan dengan difuser belakang khusus dan ekzos empat muncung.
Acura menawarkan dua warna baharu untuk MDX 2025 iaitu Canyon River Blue Metallic dan Urban Gray Pearl.
Ciri-ciri baharu MDX 2025:
- Teknologi keselamatan dan bantuan pemanduan AcuraWatch™ yang dipertingkat.
- Skrin sentuh 12.3 inci dengan sistem Google built-in.
- Konsol tengah rekaan baharu dengan kefungsian yang dipertingkat (port USB-C di dalam dan belakang, simpanan lebih besar dan pengecas tanpa wayar lebih praktikal).
- Rupa depan baharu dengan lampu besar dan belakang digelapkan.
- Rim 20 inci baharu (Technology Package dan ke atas).
- Pilihan kerusi depan kulit Milano dengan fungsi 9 urutan (Advance Package, A-Spec dengan Advance Package).
- 11 pembesar suara (+2) dan sistem audio 8 saluran.
- 19 pembesar suara (+3 Advance Package dan A-Spec, +7 pada Technology) Bang & Olufsen (Technology Package dan ke atas).
- Dalaman yang dipertingkat untuk suasana lebih senyap termasuk cermin but belakang berlamina dan penambahan penebat (Technology Package dan ke atas).
- Sistem peringatan tali pinggang keledar belakang (standard).
- Dua warna baharu; Canyon River Blue Metallic (kecuali A-Spec dan A-Spec dengan Advance Package) dan Urban Gray Pearl (A-Spec dengan Advance Package).
Ciri-ciri baharu MDX Type S dengan Advance Package 2025:
- 31 pembesar suara (+6) Bang & Olufsen.
- Fungsi AcuraWatch™ 360 baharu; Amaran Lintasan Trafik Depan, Mitigasi Pelanggaran Penukaran Lorong dan Bantuan Penukaran Lorong Aktif.
- Kerusi depan rekaan baharu dengan sisi Ultrasuede dan logo Type S.
- Rupa depan baharu.
- Rim 21 inci baharu.
- Warna baharu Urban Gray Pearl.
Acura MDX Type S 2025:
Acura MDX A-Spec 2025:
Acura MDX with Advance Package 2025:
Leave a Reply