AKSESORI motosikal berkuasa tinggi sama naik dengan harganya yang tinggi. Namun ada pengeluar yang siap-siap membekalkan aksesori yang diperlukan seperti pannier atau kotak tepi.
Contoh boleh dilihat pada Suzuki GSX-S1000GX+ 2024 yang lengkap dengan kotak tepi, berbanding model asal GSX-S1000GX.
Satu lagi kelebihan, kotak tepi dari kilang dibuat mengikut warna badan. Dari segi kapasiti, GSX-S1000GX+ mempunyai muatan 36 liter dan setiap satu boleh memuatkan topi keledar penuh.
GSX-S1000GX merupakan model crossover Suzuki yang diperkenal pada EICMA 2023.
Model ini digerakkan enjin 999cc 4 silinder sebaris yang menghasilkan 152 ps pada 11,000 rpm dan tork 106Nm pada 9,250 rpm.
Enjin dan badan disangkut pada rangka aluminium dan menggunakan lengan ayun aluminium dari siri GSX-R.
Reraut depan tampil garang dan dilengkapi lampu LED penuh pada bahagian depan dan belakang.
GSX-S1000GX dilengkapi pakej elektronik paling canggih pada sebuah motosikal Suzuki dan model pertama dari syarikat yang menggunakan Suzuki Advanced Electronic Suspension (SAES).
Terdapat empat mod SAES yang boleh dipilih iaitu, Hard, Medium, Soft atau tetapan sendiri berdasarkan tiga mod utama.
Suspensi depan dan belakang mempunyai ukuran naik turun (travel) 150 milimeter (mm) untuk tunggangan menegak dan meluaskan jarak penglihatan.
Ukuran jarak suspensi yang tinggi juga membantu GX melepasi bonggolan di laluan tidak rata. Turut membantu sistem Suzuki Road Adaptive Stabilisation (SRAS).
Sistem itu mengesan permukaan jalan tidak rata menggunakan maklumat dari Unit Pengukuran Inersia (IMU) enam paksi Bosch dan sensor kelajuan roda.
Jika diperlukan, sistem akan menghidupkan Suzuki Floating Ride Control (SFRC) untuk tunggangan yang lancar.
Sistem SFRC juga melaras tetapan injap elektronik untuk tindak balas pendikit yang lebih lembut dan mudah dikawal.
Tetapan prabeban pegas suspensi belakang juga dikawal secara elektronik. Penunggang boleh memilih penunggang tunggal, tunggal dengan bagasi atau berdua dengan atau tanpa bagasi.
Selain itu, tetapan prabeban untuk mod automatik masih boleh dilaras dengan tambah (+) atau kurang (-) dengan tiga tahap. Mod manual juga sama dan ditambah satu lagi larasan +/-.
Lagi sistem elektronik seperti Suzuki Drive Mode Selector dengan mod Active, Basic dan Comfort yang mengawal karakteristik output kuasa dan tahap kawalan cengkaman.
Sistem itu juga disepadukan dengan Lift Limiter (anti wheelie) dan Roll Torque Control dan tetapan suspensi elektronik.
Kawalan cengkaman mempunyai tujuh mod dan disepadukan bersama Roll Torque Control dan Lift Limiter dan tiga pemetaan pendikit yang boleh dipilih.
Roll Torque Control adalah sistem baharu dan diperkenal pada GX.
Menggunakan maklumat dari IMU dan sensor kelajuan roda, sistem mengira sudut condong dan kelajuan motosikal bagi menentukan tahap output kuasa dan pecutan yang optimal sebagai contoh semasa keluar dari selekoh.
Sistem mengurangkan tujahan sebelum melepasi jumlah kuasa yang diperlukan bagi melepasi selekoh dengan baik. Sistem ini mengambil tindakan apabila gelinciran roda belakang dikesan.
Turut dilengkapi, penukar cepat dua arah, kawalan jelajah (kekal berfungsi walaupun gear ditukar) dan ABS yang sensitif dengan sudut condong.
Slope Dependent Control yang dilengkapi berfungsi bagi mencegah angkatan roda belakang semasa membrek ketika menuruni curam.
Seperti model pesaing, pemilik boleh menghubungkan telefon pintar dengan motosikal melalui aplikasi Suzuki mySPIN.
Berkenaan harga, GSX-S1000GX dijual pada GBP£14,499 (RM86,516) manakala model kotak tepi GSX-S1000GX+ hanya perlu tambah GBP1,000 (RM5,966).
Model yang lengkap membolehkan pelanggan berjimat GBP175 (RM1,044) berbanding pembelian dan pemasangan asing.
Tiga warna ditawarkan iaitu Metallic Triton Blue, Glass Sparkle Black dan Pearl Matt Shadow Green yang nampak ala British Racing Green dan lebih gelap.
Leave a Reply