WALAUPUN pemandu kereta manual di ambang kepupusan, tetapi masih ramai yang tidak tahu bagaimana menggunakan transmisi kereta mereka dengan betul. Kali ini Engineering Explained berkongsi pula tip tentang bagaimana menjaga transmisi manual.
BACA >>> Lakukan 5 Tabiat Ini Jika Mahukan Gear Automatik Anda Rosak
Di bawah ini kami senaraikan 5 perkara yang berisiko merosakkan transmisi manual kereta anda jika kerap dilakukan. Ingat, tekan pedal dan jangan stres!
1. KERETA DALAM GEAR DI LAMPU ISYARAT
Berbanding transmisi automatik yang tiada masalah jika kekal dalam posisi pandu (D) ketika berhenti di lampu isyarat (atau situasi gerak-jalan-gerak), pemandu manual pula disarankan melakukan sebaliknya. Tabiat tidak meneutralkan gear ketika berhenti boleh merosakkan transmisi dan mungkin menyebabkan anda menukar komponen transmisi lebih awal daripada masa sepatutnya.
Secara spesifik, apabila menekan klac ketika berhenti, anda sebenarnya sedang memaksa bering rilis atau throwout/release bearing untuk bersambung (engaged) dengan spring diafragma pada plat tekanan. Bering rilis dihasilkan untuk beroperasi beribu-ribu kali sepanjang hayat penggunaannya, tetapi ia direka untuk digunakan pada masa singkat ketika menganjakkan gear sebelum kembali kepada posisi rehat normal atau N.
Menekan klac ketika berhenti membuatkan bering rilis bersentuhan dengan plat tekanan. Tindakan sedemikian jelas melanggar tujuan asal fungsi komponen tersebut, sekali gus berisiko menyebabkan transmisi haus lebih cepat. Jadi, apa yang patut dilakukan adalah membiarkan posisi gear dalam N tanpa perlu memijak klac lagi. Anda cuma perlu tekan brek semasa berhenti di lampu isyarat.
2. SENTIASA PEGANG TOMBOL GEAR KETIKA MEMANDU
Ramai pemandu manual kerap meletakkan tangan mereka atas tombol gear sama ada untuk siap sedia menukar gear ataupun itu memang sudah jadi satu tabiat kerana selesa. Malangnya, tabiat berkenaan boleh menyebabkan transmisi kereta anda cepat haus.
Apabila mengalihkan tombol gear untuk memilih posisi gear dimahukan - misalnya gear 2 ke 3 -, anda sebenarnya sedang menggerakkan objek statik, iaitu fork rilis atau selector/release fork, yang berlawanan kolar anjakan atau shift collar, iaitu objek berputar. Ini menyebabkan berlaku situasi geseran fork apabila bersambung dengan kolar sebelum gear ditukar.
Dalam penggunaan normal tindakan ini berlaku sangat pantas dan komponen transmisi anda kurang berdepan risiko tinggi kehausan. Namun, apabila anda kerap merehatkan tangan atas tombol gear, anda sedang mengenakan tekanan ke atas fork rilis dengan kolar.
Maknanya, jika anda tidak menukar gear, fork rilis boleh kekal bersentuhan dengan kolar, dan menyebabkan kehausan. Ia mungkin tidak memberikan impak besar yang segera, tetapi kalau setiap masa anda berterusan melakukan tabiat sama, transmisi anda perlahan-lahan berdepan masalah haus.
Kalau tidak mahu menukar gear, pegang saja roda stereng. Itu lebih baik daripada merehatkan tangan atas tombol gear. Lagipun, memegang stereng dengan kedua-dua tangan ketika memandu memang cara pemanduan yang baik dan selamat.
3. MEMANDU SAMBIL PIJAK KLAC
Klac ialah tunjang sistem transmisi yang membolehkan enjin kereta bersambung dan dinyahsambung (engaged-disengaged) daripada transmisi. Tanpa klac, anda tidak boleh menukar gear. Tetapi, klac juga boleh digunakan untuk menggerakkan kereta pada kelajuan rendah dengan hanya 'main klac' tanpa perlu menekan minyak. Cara 'main klac' ini juga kerap dilakukan ketika berhenti secara mendaki di atas jalan raya cerun atau berbukit.
Apabila memandu dalam klac, anda sedang menghubungkan pinggir klac dengan enjin. Ini bermakna enjin memindahkan sedikit kuasa kepada transmisi yang membolehkan kereta bergerak. ,Tetapi kebanyakan kuasa itu lesap apabila tenaga geseran hilang, sekali gus menyebabkan tekanan ke atas komponen klac, terutama material geseran pada cakera klac. Akibatnya, klac anda berisiko rosak!
Ramai pemandu memandu dalam klac untuk kekal dalam posisi gear ketika berhenti secara mendaki atas jalan berbukit atau cerun kerana tidak mahu meneutralkan gear dan menarik brek tangan. Tetapi ini bukan cara yang baik untuk menjaga klac dan transmisi kereta anda.
BREK PEGUN AUTOMATIK (AUTO BRAKE HOLD)
Rata-rata kereta moden hari ini memiliki sistem brek pegun automatik (brake hold/hill-hold/hill-start assist), jadi anda tidak perlu lagi melakukan tabiat lama itu. Ketika memandu mendaki, anda cuma tekan brek dan kereta akan terus berhenti tanpa perlu menarik brek tangan. Apabila mahu bergerak dari posisi berhenti pula, terus tekan klac, masukkan gear dan alihkan kaki daripada brek sambil menekan minyak. Sistem brek pegun akan 'memegang' sekejap kereta anda sehingga bergerak.
BACA >>> #TahukahAnda: Apakah Itu Bantuan Mula-Daki atau 'Hill-Start Assist' (HSA) dalam Kenderaan?
Jika kereta anda tiada ciri itu, lakukan apa diajar di sekolah memandu. Gunakan brek tangan apabila berhenti di jalan cerun dan tukar gear dalam posisi N sebelum melepaskan klac. Apabila mahu bergerak, tekan semula klac, masukkan gear dan tekan pedal minyak sambil perlahan-lahan melepaskan klac hingga merasa sedikit detaran yang menandakan transmisi bersambung dengan enjin. Kemudian, lepaskan brek tangan.
Memang agak rumit, dan anda perlu berlatih berkali-kali di kawasan khas yang tiada pemandu lain sedang menunggu di belakang. Inilah istimewanya memandu kereta manual. Bukan calang-calang latihan!
4. MEMECUT KASAR DALAM GEAR TINGGI, RPM RENDAH
Apabila RPM enjin rendah, jangan terus menginjak pedal minyak hingga rapat ke lantai, terutama jika dalam gear tinggi. Cubaan memecut secara kasar ketika kereta bukan dalam gear sepatutnya hanya memaksa enjin bekerja lebih kuat berbanding tahap keupayaan ditetapkan. Padahnya, bukan transmisi saja, enjin kereta anda juga berisiko rosak teruk.
Menyeret (lugging) enjin kereta boleh menyebabkan masalah panas lampau (overheating), menjejaskan pemasaan enjin, atau meretakkan dinding silinder. Jika mahu memecut dalam gear tinggi pada RPM rendah, turunkan saja gear sebelum mula menekan minyak. Cara ini mampu membuatkan enjin anda beraksi lebih baik dan paling penting, anda tidak merosakkan enjin kereta.
5. REHAT KAKI ATAS PEDAL KLAC
Apabila anda merehat kaki atas pedal klac, anda mungkin mengenakan tekanan yang menyebabkan bering rilis sedikit bersentuhan dengan spring diafragma. Semakin hari, tabiat yang kerap dilakukan itu boleh menyebabkan bering rilis haus lebih awal. Sebagai tambahan, tekanan kecil ini juga boleh menyebabkan klac tergelincir yang menjejaskan prestasi kereta selain menggunakan lebih bahan bakar. Rehat saja kaki atas lantai kabin, dan gerakkan apabila mahu menukar gear.
KESIMPULAN
Memahami bagaimana transmisi kereta anda bekerja mampu membantu anda mengelak kerosakan dan memanjangkan hayat kereta. Secara mudahnya, elakkan memandu dalam situasi memijak pedal klac atau menyeretkan enjin kerana memandu dalam gear yang tidak betul. Memang mudah saja bukan?
BACA >>> Inilah 5 Cara Memandu Teruk Yang Boleh Rosakkan Kereta Anda [SIRI 1]
BACA >>> Inilah 5 Cara Memandu Teruk Yang Boleh Rosakkan Kereta Anda [SIRI 2]
SUMBER: Proctor Cars
Lyana says
No. 4 tu bagi yang malas nak tukar2 gear. Baik pakai auto je.. Kalau kereta berat salahkan kereta pulak...hehehe. Tabiat buruk saya sama di no. 2. Tapi tak kerap sangat. Entah kenapa tangan gatal sangat nak pegang lebih-lebih lagi bila memandu Wira saya.
himself says
Betul tu sgt sokong
Joe says
Apa masalah kalau kita pijak cluch dlm gearbox ada bunyi bergesel..??
Nasir says
Kereta manual
Tombol gear bergerak bergegar kedepan dan ke belakang selepas pertukaran gear
Ape masaaleh nyo tuan.....