JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) kini menawarkan perkhidmatan pembatalan pendaftaran pemilikan kenderaan bermotor secara atas talian (online) yang mana pengguna tidak perlu lagi ke kaunter JPJ untuk urusan berkenaan.
Sistem itu dipanggil Sistem Pembatalan Pendaftaran Kenderaan Motor Secara Atas Talian (Online Motor Vehicles De-Registration System) atau singkatannya, e-Dereg. Proses nyah daftar secara atas talian itu mengambil masa sekitar 5 minit.
APAKAH SISTEM E-DEREG?
- Satu usaha diperkenalkan Kementerian Pengangkutan untuk membantu menangani masalah lambakan kenderaan buruk dan terbiar di kawasan perumahan yang sekian lama membelenggu pihak berkuasa tempatan (PBT) dan penduduk.
- Sistem e-Dereg membolehkan pemilik yang mahu melupuskan kenderaan motor berbuat demikian secara online tanpa perlu ke JPJ. Pelanggan cuma perlu menghubungi syarikat berlesen AATF untuk mendapatkan perkhidmatan tersebut.
- Apa perlu dibuat adalah melengkapkan semua proses pembatalan pendaftaran kenderaan secara online.
KENAPA LAMBAT PERKENAL E-DEREG?
- Ini kerana langkah pelupusan itu melibatkan pembangunan ekosistem menyeluruh bermula sistem pembatalan pendaftaran hingga mewujudkan pusat pelupusan kenderaan yang patuh piawaian keselamatan dan alam sekitar.
SIAPA LAKSANA PELUPUSAN KENDERAAN?
- Sistem e-Dereg hanya membenarkan pelupusan kenderaan dibuat di Fasiliti Rawatan Automotif Berlesen (Authorised Automotive Treatment Facility - AATF) yang dilesenkan Jabatan Alam Sekitar (JAS).
APA PULA KAITAN JAS?
- JAS menetapkan peraturan pelupusan kenderaan secara teratur untuk mencegah dua perkara, iaitu:
- Pencemaran alam - elak bendalir atau sisa kenderaan dibuang dalam saliran air
- Jualan semula komponen kenderaan yang diklasifikasikan sebagai tidak selamat.
- Pihak AATF pula perlu mematuhi semua peraturan ditetapkan JAS. Perlu diingatkan, AATF mendapat lesen daripada JAS.
SIAPA LAGI BOLEH GUNA E-DEREG?
- Selain pemilik asal berdaftar, PBT juga boleh mengadakan program pemutihan dan pengurusan kenderaan terbiar di dalam kawasan tanggungjawab masing-masing dengan sistem ini.
- Namun program itu masih perlu melibatkan pemilik berdaftar asal untuk tujuan pembatalan kenderaan.
- MOT ada perancangan membenarkan PBT menggunakan sistem tersebut untuk membatalkan pendaftaran kenderaan terbiar yang dilucutkan hak kepada PBT (mengikut Garis Panduan Pengurusan Kenderaan Terbiar).
10 LESEN AATF DIKELUARKAN
JAS sudah memberi lesen kepada 10 pihak untuk AATF, tetapi hanya dua daripada firma tersebut sudah memulakan perkhidmatan, iaitu di Kajang (Car Medic) dan Shah Alam di Selangor.
APA KATA MENTERI PENGANGKUTAN?
Anthony Loke berkata;
Dalam hal ini, saya menyeru lebih ramai pihak yang berminat menjalankan perniagaan dan perkhidmatan pelupusan kenderaan motor untuk memohon lesen AATF daripada JAS supaya boleh diberi akses melalui Sistem e-Dereg seluruh negara.
"Adalah menjadi harapan MOT supaya Sistem e-Dereg akan menjadi pemangkin kepada penyelesaian isu lambakan kenderaan terbiar dan menyokong usaha Kerajaan melindungi dan melestari alam sekitar."
Leave a Reply