TOYOTA Astra Motor (TAM) membuat beberapa siri panggil balik melibatkan lima model jenama itu di Indonesia, iaitu Avanza, Veloz, Yaris Cross, Vios dan Sienta.
Panggilan pertama membabitkan Toyota Sienta yang berisiko mengalami masalah dimasuki air di bahagian pilar depan (pilar-A). Model membabitkan model keluaran Jun 2016 hingga April 2020.
Pemilik terjejas diminta hadir ke bengkel atau pusat baik pulih Toyota untuk pemeriksaan dan menukar Front Garnish Pillar Clip. Laporan menyatakan kebocoran air boleh berlaku akibat kelemaham bahan tampalan (sealer).
Jika kebocoran terjadi, ia boleh menyebabkan kerosakan atau menjejaskan prestasi beberapa sistem elektronik seperti pintu gelangsar.
Pengarah Pemasaran TAM, Anton Jimmi Suwandy berkata, sebanyak 39,238 unit Toyota Sienta terlibat dalam kempen panggil balik berhubung isu itu, yang mana proses baik pulih mengambil masa antara dua dan tiga jam.
PANGGIL BALIK KEDUA
Kempen panggil balik kedua pula melibatkan model Avanza dan Veloz yang ada kaitan dengan skandal manipulasi Daihatsu di Jepun iaitu tiang rempuhan sisi pintu depan (Front Door Side Impact Beam).
Di Indonesia, masalah dikatakan disebabkan isu 'pemasangan tidak sempurna' ketika kimpalan dilakukan. Jika tidak dibaik pulih awal, struktur keselamatan itu mungkin tidak berfungsi baik dan mengurangkan perlindungan ketika berlaku impak sisi.
Anton berkata, kes di Jepun berhubung isu homologasi, tetapi di Indonesia, ia masalah kimpalan melibatkan 4,378 unit model keluaran November 2022.
Kerja baik pulih dijangka mengambil masa antara tiga dan empat jam di bengkal baik pulih bertauliah Toyota.
PANGGIL BALIK KETIGA
Panggilan balik ketiga melibatkan empat model, iaitu Avanza, Veloz, Yaris Cross dan Vios disebabkan masalah nat absober depan longgar yang mungkin menjejaskan kestabilan pemanduan dan membahayakan nyawa pemandu dan penumpang.
Ada laporan menyatakan kempen sama sudah dilakukan di Malaysia dan Filipina sebelum ini. Jumlah kenderaan dikhuatiri terjejas di Indonesia, ialah 169,389 unit.
Model yang terlibat dengan tahun pengeluaran adalah seperti berikut:
- Veloz keluaran Oktober 2021 hingga Ogos 2023
- Avanza keluaran November 2021 hingga September 2023
- Vios keluaran Jun 2022 hingga Ogos 2023
- Yaris Cross keluaran Mei 2023 hingga September 2023
Leave a Reply