KAWASAKI akhirnya mengumumkan harga jualan asas dua motosikal hibrid iaitu Ninja 7 Hybrid dan Z7 Hybrid di Amerika Utara, masing-masing bermula serendah AS$12,499 (RM59,083).
Kedua-dua motosikal hibrid itu menggunakan trenkuasa 4-lejang dwi-silinder sebaris 451cc DOHC sejukan cecair dengan motor elektrik segerak kompak dan pek bateri litium ion 48V.
Sistem transmisi jenis kotak gear 6-kelajuan manual automatik. Sistem trenkuasa itu menawarkan pecutan mirip model supersport 1,000cc dari titik pegun dengan bantuan teknologi e-Boost.
Model hibrid itu dilengkapi tiga mod tunggangan dengan fungsi e-Boost iaitu Sport-Hybrid, Eco-Hybrid dan EV.
Kombinasi kuasa output dengan teknologi hibrid dikatakan antara 58hp hingga maksimum 68hp, membantu penggunaan bahan api lebih cekap dan menambah baik daya pecutan. Daya tork pula 59.9Nm pada 2,800rpm.
Apa yang membezakan ialah teknologi e-Boost untuk siri Ninja dan Z hibrid itu dihadkan masa selama 5 saat berbanding siri motosikal elektrik e-1 Kawasaki iaitu selama 15 saat.
Penukaran gear boleh dibuat dengan menekan butang pada konsol kawalan kiri atau melakukannya secara manual. Siri hibrid itu tidak dilengkapi klac tangan kerana sistem akan mengawal klac hidraulik motosikal tersebut.
Turut disertakan dalam pakej teknologi pengurusan enjin ialah fungsi henti mula secara automatik mirip ciri yang terdapat pada sebilangan skuter moden. Tujuannya untuk menjimatkan penggunaan petrol semasa anda henti menunggang seketika.
PERINCIAN LAIN
- Kedua-duanya menggunakan fork teleskopik 41mm dengan penyerap hentak tunggal boleh laras prabeban.
- Sistem brek cakera tunggal 300mm dengan kaliper dwi-piston (depan), cakera 200mm dengan kaliper piston tunggal (belakang). Turut disertakan ialah Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dwi-saluran.
- Rim aloi 17 inci dengan tayar 120/70 (depan) dan 160/60 (belakang).
- Tangki minyak 14 liter.
- Satu warna pilihan Metallic Bright Silver/Metallic Matte Lime Green/Ebony (putih perak hijau)
Leave a Reply