ADA model kereta yang berusia panjang di pasaran, tetapi tidak disedari kerana rekabentuknya malar segar. Satu contoh jelas ialah Mazda6 generasi ketiga.
Tahukah anda? Mazda6 atau Atenza di Jepun dikeluarkan sejak 2012 lagi dan terus dijual hingga kini dengan usia sudah melebihi sedekad!
Berbeza pesaing lain yang membawa rekabentuk objektif dan mudah dinilai, Mazda6 pula hadir dalam gaya subjektif ibarat objek seni. Mazda6 turut ditawarkan dalam model sedan dan wagon.
Tidak hanya menjual gaya, Mazda6 turut menjadi pentas teknologi seperti enjin dan kotak gear SkyActiv, GVC Plus (G-Vectoring), i-ELOOP (sistem pengembalian tenaga brek) dan sebagainya.
Penjualan selama lebih sedekad nampaknya menemui penghujung apabila Mazda memaklumkan pengeluaran untuk pasaran Jepun dijadual ditamatkan pertengahan April tahun ini.
Sebagai imbasan, Atenza atau Mazda6 dilancar di Jepun pada Mei 2002 sebagai kereta saiz sederhana yang melambangkan falsafah 'Zoom-Zoom' Mazda.
Menariknya, Mazda6 generasi pertama (foto atas) menawarkan tiga gaya badan iaitu wagon, sedan, dan liftback.
Mazda6 generasi kedua pula hadir pada 2007 dengan mengekal tiga gaya badan tersebut yang semakin jelas menunjukkan hala tuju rekabentuk Mazda. Satu lagi ciri utama dibekalkan pada Mazda6 ialah keseronokan memandu.
Mazda6 generasi ketiga (foto atas) diperkenal pada 29 Ogos 2012 di Moscow, Rusia dalam bentuk sedan sebelum disusuli wagon pada bulan berikutnya di Paris.
Mazda6 generasi ketiga ialah model yang melengkapi rekabentuk Mazda dengan penampilan anggun, berkelas, dan subjektif. Justeru tidak hairan mengapa model itu mampu bertahan lama.
Berbanding dua generasi terdahulu, model terbaharu kali ini hanya ditawarkan dalam gaya badan sedan dan wagon. Pasaran tempatan turut dihidangkan ketiga-tiga generasi Mazda6.
Penawaran terbaru untuk pasaran tempatan ialah pada Oktober 2023 seperti model khas 20th Anniversary Edition (foto atas). Sejak 2012 pula, Mazda6 menjalani dua kali proses naik taraf iaitu pada 2015 dan 2018.
Menurut pegawai yang bertanggungjawab terhadap jualan domestik jenama itu, Kazuyoshi Todo, jualan keseluruhan Atenza/Mazda6 di Jepun hingga penghujung 2023 mencecah 226,437 unit.
Menurutnya lagi, siri CX akan mengambil peranan ditinggalkan Mazda6 memandangkan CX ialah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang jelas menyatakan tiada lagi sedan atau wagon baharu sebagai pengganti. Apakah nasib Mazda6 di pasaran lain? Belum ada berita lanjut. Apa yang pasti, Mazda6 berjaya memahat sejarah istimewa bagi peminat sedan dan wagon sedunia.
Leave a Reply