SEJAK pengenalan Crosstrek generasi ketiga pada September 2022, Subaru tidak lagi menggunakan nama XV dan memadai menggunakan satu nama untuk kesemua pasaran.
Asalnya Subaru menggunakan XV di peringkat antarabangsa dan XV Crosstrek di Amerika Syarikat dan Kanada sebelum ditukar kepada Crosstrek untuk model tahun (MY) 2016 dan ke atas.
Kini satu nama sahaja digunakan dan ketiga-tiga generasi XV atau Crosstrek merupakan Impreza hatchback yang ditinggikan dan lebih rugged. Satu yang menarik, kedua-dua Crosstrek dan Impreza dijual di Amerika Syarikat.
Pasaran terbaru Crosstrek generasi ketiga ialah United Kingdom (UK) bagi menggantikan XV. Dua varian ditawarkan iaitu Limited dan Touring.
Crosstrek dibekal enjin 2.0 liter SUBARU e-BOXER® yang dipadan bersama Lineartronic CVT (Continuously Variable Transmission) dan tambahan mod manual serta pedal gear bagi varian Touring.
Enjin hibrid ringan itu menghasilkan 136ps dan tork 182Nm pada 4,000 rpm. Pecutan dari 0 sehingga 100 kilometer sejam (kmj) memerlukan 10.8 saat dan kelajuan maksimum mencecah 198 km/j.
Kedua-dua varian menggunakan sistem Pacuan Semua Roda Simetrikal Subaru yang diberi penelitian semula dan kini mempunyai masa tindak balas lebih pantas, lincah dan kawalan lebih baik di laluan biasa dan off-road.
X-MODE® dengan Kawalan Penurunan Curam yang boleh dipilih pemandu memaksimumkan kawalan roda di laluan licin dan curam.
Crosstrek Touring mempunyai penambahan fungsi X-MODE® dan lebih berkeupayaan di dalam pelbagai jenis keadaan.
Kesemua varian dilengkapi Bantuan Mula Mendaki yang menahan kereta sementara bergerak ketika berhenti di curam. Turut dilengkapi sistem Pemanduan Pintar Subaru dengan dua mod iaitu Intelligent dan Sport.
Seperti model baharu lain, Crosstrek dibina dari Subaru Global Platform dan mempunyai kadar ketegaran torsi sepuluh peratus lebih tinggi.
Binaan rangka dalam penuh dengan kaedah kimpalan lebih kuat dan tambahan perekat struktur menyumbang kepada ketegaran badan dan berat lebih ringan.
Gabungan tersebut memberikan prestasi dinamik lebih baik, pemanduan lebih lancar dan dalaman lebih senyap.
Dari segi rekabentuk, Crosstrek kekal rugged dengan pendakap sekeliling badan dan nampak tebal pada bampar depan dan belakang. Jarak kelegaan bumi ialah 220 milimeter.
Tidak sekadar kosmetik, liang pada pendakap roda depan membolehkan udara keluar dari dalam roda dengan lebih lancar dan membantu mengurangkan angkatan pada tayar depan serta meningkatkan kestabilan pemanduan.
Liang pada kedua-dua sisi bampar belakang pula mengurangkan ayunan badan yang berpunca dari udara yang terperangkap di sebalik bampar.
Crosstrek Limited dipakaikan rim aloi Diamond Turned 17 inci dan 18 inci untuk Touring. Pada bahagian dalam, but kereta mempunyai kapasiti 315 liter dan kerusi belakang boleh dilipat dengan pisahan 60:40.
Kerusi depan mempunyai rekaan dengan sokongan lebih baik dan meningkat keselesaan serta mengurangkan keletihan.
Subaru turut menumpukan perhatian dalam mengurangkan bunyi untuk dalaman lebih senyap dan selesa. Skrin 11.6 inci dilengkapi pada semua varian dengan sambungan tanpa wayar Android Auto™ dan Apple CarPlay™.
Kesemua varian dilengkapi Teknologi Bantuan Pemanduan EyeSight® terbaru dengan cerapan lebih luas, kawalan perisian baharu dan penambahan penggalak brek elektrik.
Sistem EyeSight® mampu mengenalpasti basikal dan pejalan kaki di persimpangan lebih cepat dan sekiranya perlu memberi amaran kepada pemandu dan mengaktifkan brek bagi mengelak pelanggaran.
Turut dilengkapi Sistem Pengawasan Pemandu yang memberi amaran tentang tingkah laku pemandu yang tidak normal atau keadaan berisiko.
Berkenaan harga, Crosstrek Limited ditawarkan daripada GBP£34,290 (RM204,649) dan GBP£36,290 (RM216,604) untuk Touring.
Leave a Reply