RAMAI pengguna yang beralih dari kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE) kepada kenderaan elektrik (EV) sedia maklum mengenai cara EV berfungsi.
Malangnya, ada pemilik mungkin kurang peduli mengenai beberapa perkara yang mampu memendekkan jangka hayat bateri EV mereka. Artikel portal Kijo Battery mendedahkan kini sudah ada semakin banyak kes bateri EV mengembung atau bengkak.
Justeru disenaraikan lima punca fenomena itu berlaku dan cara mencegahnya.
1. SEJUKKAN BATERI DULU
Kesilapan pertama dibuat pemilik EV adalah terus menyambung kabel untuk mengecas sebaik saja berhenti.
Ketika memandu, bateri EV akan jadi panas dengan suhu mencecah hingga 70º Celsius. Jika tidak memberi masa untuk pek bateri kembali sejuk, sebaliknya terus dicas, perbuatan itu berisiko meningkatkan kehilangan cecair bateri dan suhu pek bateri pula boleh meningkat.
Perbuatan itu boleh memendekkan jangka hayat bateri dan meningkatkan risiko pek bateri mudah rosak.
Penyelesaian: Sila cas EV selepas tempoh rehat bateri sekurang-kurangnya 30 minit untuk merendahkan suhu sebelum mengecas.
2. JANGAS CAS BAWAH CUACA PANAS
Pada cuaca panas, pantulan cahaya ultraungu (UV) dan suhu tinggi adalah kurang sesuai untuk mengecas EV. Ini kerana pek bateri juga akan panas (suhu dalaman) ketika pengecasan dibuat.
Jika dibuat juga di bawah terik cahaya matahari (suhu luar), situasi suhu luar dan dalam boleh menyebabkan kehilangan cecair bateri lebih cepat, sekaligus membuatkan bateri bengkak.
Situasi itu bukan hanya memendekkan jangka hayat bateri, tetapi boleh menyebabkan kenderaan EV terbakar, atau meletup.
Penyelesaian: Rehatkan bateri dan cas di tempat redup, atau ketika petang, atau malam.
3. GUNA PENGECAS TULEN, JENAMA PENGELUAR
Penggunaan pengecas tidak tulen atau berkualiti rendah berisiko menyebabkan kegagalan saluran kuasa daripada pek bateri walaupun sudah dicas penuh.
Penggunaan peralatan sama juga tidak membolehkan arus cas diselaras mengikut arus bateri EV. Malah berisiko menyebabkan berlaku masalah cas lampau (overcharging).
Selepas beberapa kali mengalami cas lampau, pek bateri mungkin mengembung. Pemilik EV juga perlu memberi perhatian kepada komponen elektronik kualiti rendah dan material lain pada pengecas tanpa jenama atau bukan jenama asal pengeluar.
Ini kerana kerosakan komponen boleh menyebabkan ketidakstabilan arus elektrik ketika mengecas, termasuk tiada jaminan arus kuasa dapat dihentikan automatik. Dua situasi itu mampu memudaratkan bateri EV.
Penyelesaian: Guna pengecas tulen atau jenama profesional yang menepati piawaian pengeluar EV anda.
4. JANGAN CAS EV SEPANJANG MALAM
Ramai sebenarnya pemilik EV membiarkan kereta mereka dicas sepanjang malam.
Masa mengecas tidak seharusnya melebihi lapan hingga 12 jam. Bagaimanapun, ada pemilik terlupa memutuskan bekalan arus kuasa hingga masa mengecas berlalu lebih 20 jam.
Tindakan itu berisiko merosakkan bateri kerana situasi cas lampau dalam tempoh lama juga menjadi punca bateri mengembung dan rosak. Ia juga boleh menyebabkan pengecas rosak atau terbakar.
Penyelesaian: Kawal masa mengecas hingga lapan jam dan cuba elak EV dicas semalaman.
5. ELAKKAN STESEN CAS PANTAS (DC)
Ramai pemilik EV gemar menggunakan kemudahan stesen cas pantas (DC) untuk mengecas bateri EV atas faktor menjimatkan masa. Namun, pilihan mengecas pantas sebenarnya lebih kepada situasi kecemasan.
Ini kerana pengecasan pantas membolehkan arus elektrik tinggi masuk ke pek bateri dalam masa singkat dan tidak sepatutnya digunakan dalam tempoh lama.
Jika diteruskan, tindakan itu boleh menyebabkan nyah gas (degassing) dan kehilangan cecair bateri. Penggunaan pengecasan pantas dalam jangka masa lama juga boleh menyebabkan bateri mengembung.
Penyelesaian: Cuba elak ke stesen as pantas, sebaliknya cas saja di rumah.
Leave a Reply