SEORANG wanita hamil sembilan bulan maut selepas kereta dinaiki terbabit kemalangan di KM19.2 Lebuh Raya Pasir Gudang, Johor.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd Sohaimi Ishak berkata, dalam insiden jam 12.40 malam kelmarin (Isnin), bayi mangsa bagaimanapun terselamat dan masih menerima rawatan di wad penjagaan intensif untuk bayi (NICU) di Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru.
Kejadian berlaku apabila mangsa yang merupakan penumpang kereta jenis Honda Civic datang dari arah Tebrau menghala ke Pasir Gudang dipercayai hilang kawalan dan merempuh kotak panel elektrik di pembahagi jalan.
“Akibat kemalangan itu, wanita berkenaan yang mengandung sembilan bulan berusia 28 tahun cedera dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di HSI.
Beliau berkata, pemandu yang juga seorang wanita warga tempatan berusia 30 tahun hanya mengalami kecederaan ringan dan dirawat di HSI.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Polis mengetahui insiden berkenaan selepas mengesan hantaran dimuat naik pemilik Facebook Puven Rajandran. Dalam perkongsian itu, kenalan mangsa itu bimbang insiden berkenaan mungkin berpunca disebabkan kondisi jalan tidak selamat, termasuk berlubang dan licin.
Puven terkilan dengan kematian mendiang akibat kemalangan berkenaan dengan bayi mangsa masih bertarung nyawa. Malah dia juga menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya bagi mengelakkan insiden sama berulang.
SUMBER: SinarHarian | FB: Puven Rajandran
Leave a Reply