POLIS mengesahkan mangsa kebakaran dalam kereta jenis Perodua Kancil di KM18 Jalan Pekan-Nenasi, selepas bertembung dengan sebuah treler, Selasa lalu sebagai lelaki, iaitu rakan pemandu yang juga maut.
Dalam insiden jam 8.45 malam itu, rakan mangsa ialah pemandu kereta tersebut, iaitu Muhammad Shafiq Haikal Mohd Najib, 18.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintenden Mohd Zaidi Mat Zin berkata, mangsa rentung dikenal pasti sebagai Muhammad Hanif Ikwan Md Kamizi, 18, iaitu pelajar kolej.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku melibatkan Perodua Kancil dipandu Muhammad Shafiq Haikal dari arah Rompin menghala Pekan dengan treler dipandu lelaki berusia 42 tahun dari arah bertentangan.
Apabila sampai di lokasi kejadian, kereta itu hilang kawalan dan terbabas lalu melanggar bahagian depan treler di laluan bertentangan hingga menyebabkan Perodua Kancil itu terputus dua dan terbakar.
Kesan daripada kemalangan itu, pemandu tercampak keluar dari kereta itu dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Mohd Zaidi berkata lagi, Muhammad Hanif Ikwan ditemui rentung 100 peratus dalam kenderaan. Kedua-dua mayat dibawa ke Bahagian Forensik Hospital Pekan untuk dibedah siasat.
Kancil dipandu mangsa terbakar 50 peratus, manakala treler cuma mengalami kerosakan di bahagian depan. Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
SUMBER: SinarHarian
Leave a Reply