KERAJAAN akan melaksanakan bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan kelas ekonomi yang melebihi RM599 sehala dari Semenanjung ke Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutan Labuan untuk tiga hari sebelum perayaan, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.
Inisiatif itu bakal dimulakan menjelang perayaan Krismas pada 25 Disember ini dengan pembelian bermula 16 Disember jam 12.01 tengah malam bagi perjalanan tiga hari sebelum perayaan, iaitu pada 22, 23 dan 24 Disember.
Sementara itu, susbsidi sama juga akan diteruskan tahun depan bagi perayaan Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidilfitri, Pesta Keamatan, Hari Gawai dan Krismas dengan pembelian tiket dibuka pada 1 Januari 2024, jam 12.01 tengah malam.
Harga tiket penerbangan kelas ekonomi sehala yang disubsidikan ini tidak termasuk cukai dan fi.
Bantuan subsidi ini dipersetujui sebulat suara Jemaah Menteri pada 13 Disember lalu berikutan rintihan awam mengenai harga tiket kapal terbang yang tinggi sebelum musim perayaan, terutama bagi rakyat Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan yang menetap, bekerja dan belajar di Semenanjung.
Menurut Loke, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) dipertanggungjawab sebagai urus setia dan urusan pembayaran kepada syarikat penerbangan bagi inisiatif bantuan subsidi tersebut.
Kerajaan dijangka menampung jutaan ringgit untuk setiap musim perayaan dan orang ramai boleh membeli tiket penerbangan melalui laman web syarikat penerbangan tempatan seperti AirAsia, FireFly, Malaysia Airlines dan Batik Air.
"Mavcom sudah memudah cara 114 penerbangan tambahan antara Semenanjung dengan Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan," katanya.
Menurutnya, langkah berkenaan dapat memberi kesan positif apabila harga dari Kuala Lumpur ke destinasi utama di Sabah dan Sarawak turun 5 hingga 33 peratus setakat pagi tadi berbanding minggu lalu.
SUMBER: Bernama
Leave a Reply