JIKA anda masih ingat, Toyota berjaya mendominasi tiga daripada lima ranking teratas keseluruhan perlumbaan 1000KM Endurance Race (S1K), tahun lalu.
Nampaknya, pengeluar itu mengulangi sejarah sama tahun ini apabila tiga kenderaan jenama itu kembali memenuhi tiga daripada lima kedudukan teratas perlumbaan S1K 2023.
TOYOTA NAIK PODIUM LAGI
Bukan setakat itu saja, perlumbaan itu turut disertai 13 kereta Toyota membabitkan 11 model Vios dan dua unit Yaris.
Lebih membanggakan, semua jentera Jepun itu berjaya menamatkan perlumbaan tanpa mana-mana pasukan berundur awal atau tersingkir.
S1K 2023 menyaksikan penyertaan 77 kereta di grid lumba, tetapi cuma 58 pelumba menamatkan perlumbaan.
Sebagai makluman, Toyota secara rasmi menyertai S1K sejak 2021 tanpa gagal menduduki podium sejak tahun pertama penyertaan.
SIAPA JUARA KALI INI?
Tempat pertama dimenangi wakil pengedar Toyota, Wing Hin Motorsport menerusi dua pelumba, Amer Harris dan Nabil Azlan.
Dua mantan rookie GAZOO Racing itu dinobatkan juara keseluruhan S1K 2023 dengan melengkapkan 169 pusingan, iaitu lima lap di depan pencabar terdekat sebelum bergelar juara. Menariknya, kereta digunakan Amer dan Nabil ialah model Yaris.
Pasukan Toyota GAZOO Racing (TGR) Malaysia pula mengakhiri saingan di tempat ketiga selepas menamatkan persaingan sengit sembilan jam di Litar Antarabangsa Petronas Sepang.
Pelumbanya, Tengku Djan Ley dan Naquib Azlan, yang juga juara S1K 2022 bersaing di trek sama menggunakan model Vios.
KEMAMPUAN TOYOTA TERBUKTI DI S1K
Presiden UMW Toyota Motor, Datuk Ravindran K mengulas kejayaan Toyota dalam S1K dengan berkata;
Bagi melihat kenderaan Toyota atas podium selama tiga tahun berturut-turut dalam S1K, termasuk dua kali memenangi keseluruhan perlumbaan sudah tentu suatu keadaan yang jauh lebih baik.
"Reliabiliti sudah sinonim dengan Toyota, dan jenama itu secara progresif beralih kepada pencapaian prestasi menerusi kemenangan dalam sukan permotoran global dan peringkat tempatan.
"Kedua-dua model Yaris dan Vios sudah mengharungi ujian dan cabaran di trek, serta muncul juara. Ini bukti keupayaan sebenar model-model itu dan komitmen Toyota untuk terus menghasilkan kereta lebih baik buat pelanggan kami."
VIOS GEN-4 SERTAI MUSIM 2024
Model Toyota Vios generasi ketiga sudah membuktikan kemampuan dan prestasi dalam sukan lumba selepas mengharungi enam tahun perlumbaan GR Vios Challenge dan GR Vios Sprint Cup selama tiga tahun.
Dalam perlumbaan S1K, Vios mencatat kemenangan Kelas di tangga ke-11 pada tahun pertama pembabitan, dan muncul juara 2022. Terbaharu dalam S1k 2023, Vios merangkul kedudukan ketiga.
Bermula musim ketujuh GR Vios Challenge tahun depan, Vios generasi keempat akan menjadi model pengganti model semasa.
Vios baharu dilancarkan pada Mac lalu yang dibina berasaskan platform lebih ringan yang menekankan aspek rekabentuk dan penggunaan material kekuatan tinggi.
Kemajuan kejuruteraan itu meningkatkan aspek ketegaran kenderaan dengan berat 100kg lebih ringan berbanding Vios generasi ketiga. Malah trenkuasa Vios baharu menampakkan perubahan masa lap di litar dalam ujian awal.
Ravindran menjelaskan;
Vios dibina untuk mengoptimumkan kuasa, reliabiliti dan ketahanan yang bukan sekadar keseronokan pemanduan, tetapi juga memberikan prestasi keselamatan sama ada di jalan raya atau kondisi paling mencabar dalam suatu pertandingan.
"Vios kekal salah satu model paling popular dalam segmen-B di pasaran dan menjadi instrumen penting mengemudi Toyota untuk terus mendominasi segmen bukan nasional di Malaysia.”
PEMENANG GR VIOS ENDURO CUP
Sementara itu, perlumbaan GAZOO Racing Vios Enduro Cup yang berlangsung sebagai kelas individu dalam perlumbaan sama menyaksikan trio pelumba Axle Sports (Tse, Kah Hing, Mikko Nassi dan Wu Hin Lun) memenangi hadiah RM10,000.
Tempat kedua pula menjadi milik pasukan Race Rally KL, iaitu Shafiq Samsudin, Ahmad Nadzrie dan Kelvin Yap yang membawa pulang tunai RM8,000.
Pasukan 23 Motors menerusi pelumba Abdul Miqail dan Amir Mirza muncul pemenang tempat ketiga dengan ganjaran tunai RM6,000.
Sebanyak 10 kereta lumba bersaing dalam kelas perlumbaan tersebut yang semuan pelumba melengkapkan sembilan jam perlumbaan dalam cabaran enduran sejauh 1,0000km.
Leave a Reply