HYUNDAI Tucson bukan asing buat pengguna tempatan. Kenderaan utiliti sukan (SUV) itu sama naik dengan Kia Sportage dan ditawarkan di pasaran tempatan dari generasi pertama hingga generasi keempat.
Model generasi keempat dengan rekabentuk futuristik dikeluarkan sejak 2020 dan kini tiba masa untuk model baharu versi dipertingkat (facelift).
Sebelum ke pasaran lain, Hyundai sempat memperkenalkan Tucson 2024 di Korea. Sekali pandang bahagian depan tidak jauh beza dan penulis bersetuju dengan strategi Hyundai.
Wajah asal Parametric Dynamics sudah elok dan diperkemas Hyundai dengan jumlah lampu dikurangkan kepada empat daripada lima sebelum ini. Walaupun berkurang, setiap lampu kini lebih besar dan bentuk gril diringkaskan dengan kluster lampu kini lebih menyerlah.
Rekaan bampar depan juga diubah dengan bukaan bawah baharu dan plat skid dipanjangkan untuk visual lebih lebar. Dari sisi boleh dilihat rim corak baharu yang masih mengekalkan gaya sabit.
Jika bahagian luaran hampir sama, lain pula ruang kabin yang seakan masuk ke dalam kereta baharu dengan papan pemuka ditukar sepenuhnya ala model elektrik IONIQ 5 dan IONIQ 6.
Paparan pemandu dan unit infotainmen disepadu secara horizontal dengan tetapan dan arahan dibuat melalui butang dan tombol fizikal, termasuk kawalan sentuh.
Lagi perubahan ketara adalah ruang terbuka papan pemuka untuk simpanan barang, stereng gaya klasik dan tuil gear elektronik di sebalik stereng, serta turut dilengkapi pad pengecas wayarles.
Hyundai belum berkongsi maklumat trenkuasa. Sebagai rujukan, Tucson pasaran tempatan dijana enjin 2.0L dan 1.6L turbo yang masing-masing dipadankan transmisi dual-klac (DCT) 6-kelajuan dan 7-kelajuan.
Ada sembilan warna untuk pasaran Korea, termasuk dua warna baharu, Fine Green Matte (hijau) dan Ultimate Red Metallic (merah).
Memandangkan Tucson 2024 baru saja diperkenal di Korea, agak mustahil model itu memasuki pasaran tempatan dalam masa terdekat. Berbeza generasi terdahulu yang dipasang di Kulim, Kedah, Tucson terbaharu diimport terus dari Korea dan dijual pada harga bermula RM158,888.
Leave a Reply