LIHAT gambar di atas, itulah kedudukan pelumba Formula Satu (F1) ketika duduk dalam jentera mereka. Nampak semacam berbaring seperti sedang tengok televisyen di sofa rumah.
Tahukah anda, kerusi jentera F1 dibikin menggunakan material gentian karbon untuk mendapatkan berat ringan, dan pada masa sama memiliki struktur yang kukuh dan kuat.
Ini penting supaya posisi pelumba melekap baik pada kerusi. Dalam kerusi juga disertakan pad atau bantal kecil (dipanggil small beans) daripada campuran resin untuk keselesaan dan memudahkan pelumba ditarik keluar dari kokpit.
Saiz kerusi juga tidak sama dan perlu dikustom mengikut saiz pelumba yang boleh berubah-ubah dari segi berat dan fizikal, terutama bahu dan pinggang.
Kerusi itu juga tidak muat sepadannya dengan kokpit jentera. Jadi apa dilakukan adalah memasang empat penambat kecil (small bullet) yang biasa digunakan setiap pasukan F1.
Jadi apabila pelumba sudah duduk dalam kokpit, kerusi dipastikan melekat kuat dan tidak bergoyang. Jika berlaku kemalangan pula, pasukan kecemasan cuma perlu menanggalkan tali keledar dan menarik keluar pelumba bersama kerusi mereka sekali menggunakan tali khas yang sudah sedia ada pada kerusi berkenaan.
Rekabentuk kerusi F1 juga direka untuk memberikan perlindungan pada kepala, leher dan tulang belakang pelumba.
Leave a Reply