TIGA bersaudara yang rentung dalam kemalangan jalan raya di Kawasan Perindustrian Bercham dekat Ipoh, malam tadi dilaporkan baru selesai menghantar juadah Deepavali ke rumah nenek mereka di Taman Perpaduan di Ipoh, petang semalam.
Insiden berlaku kira-kira jam 8 malam melibatkan M Krishna, 20, adik lelakinya, M Pavilesh, 16, dan sepupu mereka N K Subash Varman, 16 apabila kereta Proton Perdana dipandu Krishna dari arah Tanjung Rambutan hilang kawalan dan bertembung lori sampah dari arah bertentangan, ketika melalui jalan selekoh.
Menurut polis, akibat pelanggaran itu, kereta mangsa tersepit bawah lori sampah dan terbakar hingga mengorbankan semua mangsa di tempat kejadian. Bagaimanapun pemandu lori sampah dan empat kelindan tidak mengalami kecederaan.
Bapa mangsa, M Manimaran, 50, berkata, dua anaknya, Krishna dan Pavilesh keluar dari rumah mereka di Taman Cempaka kira-kira jam 4 petang semalam untuk mengambil sepupunya, Subash Varman yang tinggal di Bercham kerana mahu menghantar beberapa jenis lauk dimasak isterinya sempena Deepavali ke rumah nenek mereka.
Saya dapat bercakap dengan anak saya (telefon) pada pukul 6 petang dan beritahu mereka mahu ke rumah kawannya terlebih dahulu sebelum pulang.
"Saya cuba menghubungi mereka sekali lagi kira-kira 7 malam namun panggilan tidak berjawab.
"Saya cuba cari rumah kawan dia tapi tidak jumpa dan saya buat keputusan untuk buat laporan polis di Balai Polis Taman Cempaka pada 10 malam tadi kerana tidak sedap hati,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh, hari ini.
Manimaran berkata, kira-kira 15 minit selepas laporan polis dibuat, pegawai polis datang ke rumahnya dan memaklumkan mengenai kemalangan yang menimpa semua mangsa berkenaan.
Menurutnya, anak sulung daripada tiga beradik itu bekerja di sebuah kedai aksesori, manakala anak kedua pula masih bersekolah Tingkatan Empat di Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Chulan di Ipoh.
Anak-anak saya sangat manja dengan nenek mereka dan sering ke rumah nenek pada hujung minggu atau cuti umum," katanya.
Manimaran memaklumkan mereka sekeluarga tidak menyambut Deepavali tahun ini kerana kematian abangnya, April lalu.
Sementara itu, bapa kepada Subash Varman, L Nantha Kumar, 41, berkata, kematian anak sulung daripada dua beradik itu sangat mengejutkan mereka sekeluarga.
SUMBER: Bernama | FB BalaiBombaIpoh
Leave a Reply