Dek permintaan luar biasa, Toyota Australia mengambil keputusan untuk menangguhkan pengambilan tempahan Camry hibrid. Mana tidaknya, 90 peratus pelanggan memilih varian petrol-elektrik tersebut.
Walaupun pembekalan kebanyakan kenderaan baharu Toyota termasuk Camry hibrid memulih sejak Mei 2023, populariti kenderaan cekap bahan api yang ditawarkan Toyota mengakibatkan pelanggan perlu menunggu lebih dua tahun.
Dalam tempoh sembilan bulan sehingga 30 September 2023, penghantaran Camry berjumlah 7,130 unit dan 6,490 daripadanya dari varian hibrid.
Camry hibrid pasaran Australia dibahagikan kepada empat pilihan iaitu Ascent, Ascent Sport, SX dan SL.
Sedan saiz sederhana itu dibekalkan enjin A25A-FXS 2.5 liter kitaran Atkinson dan sepasang motor elektrik MG1 dan MG2 dengan kuasa maksimum 215 hp (160kW).
Enjin petrol menghasilkan 176 kuasa kuda (hp) pada 5,700 rpm dan tork 221Nm dari 3,600 sehingga 5,200 rpm. Motor elektrik pacuan MG2 mempunyai kuasa 88kW dan tork 202Nm. Kapasiti bateri ialah 4.0 ampere-jam (Ah).
Enjin Camry hibrid dipadan dengan kotak gear e-CVT yang berbeza daripada kotak gear automatik lapan kelajuan Camry petrol. Camry hibrid SL dan SX dilengkapi pedal penukar gear pada stereng.
Dari segi keselamatan, kesemua varian Camry dilengkapi Toyota Safety Sense dengan fungsi Peringatan Penukaran Lorong, Sistem Keselamatan Pra-Pelanggaran dengan pengesanan pejalan kaki.
Turut dilengkapi Lampu Tinggi Automatik, Kawalan Jelajah Radar Dinamik dan Banuan Pengesanan Isyarat Jalan Raya (isyarat kelajuan sahaja).
Harga Camry 2023 bermula dari AUD36,820 (RM111,392) bagi varian asas Ascent sehingga AUD50,320 (RM152,207) untuk varian premium SL.
Camry sudah berada di pasaran sejak 2017 dan berdasarkan tempoh kitaran produk bakal diganti baharu.
Keputusan Toyota Australia adalah satu yang munasabah kerana tempoh menunggu terlalu lama mungkin menjangkau pelancaran model baharu.
BACA >>> #TahukahAnda: 7 Sebab Toyota Camry Masih Berbaloi Dimiliki!
BACA >>> Toyota GR Corolla (2024) Cuma 550 Unit Dihasilkan di Jepun dengan Bolt Dipertingkat, Harga RM168k!
Leave a Reply