SELAIN Corolla yang memiliki sejarah panjang, Toyota ada satu lagi model ikonik, iaitu Crown. Sejarahnya bermula dengan Toyopet Crown yang diperkenalkan pada 1955.
Berdekad lama di pasaran, Toyota mengisi Crown dengan pelbagai model dari sedan, coupé hingga trak pikap. Toyota bereksperimen dengan Crown dan masih diteruskan hingga kini.
Toyota Crown generasi ke-16 diperkenalkan pada Julai 2022, dan bukan sebuah, tetapi dijadikan siri famili baharu dengan empat model berbeza segmen, iaitu crossover, sport, sedan dan wagon.
Selepas Crown Crossover, kini giliran model kedua, iaitu Toyota Crown Sport Hybrid (HEV) yang mana tempahan sudah dibuka kepada pelanggan Jepun. Model itu dilancar di Jepun pada November sebelum disusuli versi hibrid plug-in (PHEV), bulan depan (Disember).
Satu lagi berita buat pelanggan di Jepun, Toyota Crown Sedan akan dilancar pada November dan Crown Estate (wagon) sebelum penghujung tahun fiskal 2024.
Tawaran Crown itu membuka lembaran baharu dan mengisi jurang antara Toyota dan Lexus. Crown juga memberi pilihan kepada pelanggan yang tidak sukakan sedan konvensional seperti Camry atau mahu lari daripada lambakan kenderaan utiliti sukan (SUV).
Dari segi rekabentuk, Toyota Crown Sport tidak sama seperti Crown Crossover. Bahagian depan menggunakan rupa ala ikan yu tukul seperti Prius baharu dan pilar-D ke belakang membawa imej tersendiri.
Rim aluminium 21 inci mengisi ruang roda dan begitu juga Crown Crossover. Toyota Crown Sport (2024) memiliki dimensi panjang 4,720mm, lebar 1,880mm dan tinggi 1,565mm. Dimensi itu dalam julat Crown Crossover, kecuali panjang dengan ukuran 4,930mm hingga 4,980mm.
Ruang dalaman pula, Toyota menggunakan gaya pulau dan menariknya dibuat dalam skema warna berbeza untuk penumpang dan pemandu. Toyota mengambil kira praktikaliti untuk keluar-masuk kereta dengan baik.
Sebagai contoh, sudut pinggul tinggi hasil penggunaan roda besar, ketinggian alang pintu dan bentuk pintu belakang yang membantu pergerakan kaki.
Selain itu, Crown Sport (2024) menjadi model Toyota pertama dilengkapi siling kawalan bunyi yang memantulkan bunyi dalam kabin untuk memudahkan penumpang berkomunikasi.
Aspek pengendalian, Toyota memilih suspensi jenis MacPherson di depan dan pelbagai pautan di belakang. Sistem Stereng Belakang Dinamik (DRS) ditala optimum mengikut model bagi mengimbang kelincahan pada halaju rendah dan fiil lebih stabil pada halaju tinggi.
Sistem suspensi dibuat khas bagi membolehkan pemandu memahami lebih tepat karakter dan respons kereta.
Sebagai permulaan, Toyota menawarkan trenkuasa hibrid 2.5L A25A-FXS dalam pacuan semua roda (AWD) E-Four sebelum PHEV 2.5L menyusul.
Di pasaran luar, enjin petrol berkuasa 184hp dan tork 221Nm, manakala trenkuasa petrol dan motor elektrik pula menghasilkan output kuasa 236hp.
Motor elektrik depan menghasilkan 118hp dan tork 202Nm, manakala motor elektrik belakang berkuasa 55hp dan tork 121Nm. Mengenai harga, Toyota Crown Sport Hybrid (2024) dijual pada 5.9 juta yen (RM187,460).
BACA>>> Toyota GR Corolla Dipilih Pace Car Kejuaraan NASA, Pembeli Dapat Sesi Hari Litar Percuma
BACA>>> Toyota C-HR (2024) Diperkenal dengan Rekabentuk Dramatik, Enjin Hibrid Sahaja
BACA>>> Toyota Sequoia TRD PRO (2024), SUV 3 Baris Mewah, Lasak untuk AS, Harga Mula RM282 ribu
Leave a Reply