SEORANG bayi perempuan berumur lapan bulan dilaporkan meninggal dunia akibat ditinggalkan lebih 10 jam di dalam kereta di sebuah hospital di Kuala Lumpur.
Siasatan awal mendapati ibu mangsa dalam lingkungan 30-an bertugas sebagai salah seorang doktor di hospital berkenaan.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, wanita itu menempatkan mangsa di kerusi penumpang belakang kiri untuk dihantar ke taska kira-kira jam 7.20 pagi.
Beliau menjelaskan:
Ibu mangsa bagaimanapun terus memandu keretanya itu ke tempat kerja dengan beranggapan mangsa telah dihantar ke taska.
"Kejadian disedari ibu mangsa apabila mangsa didapati berada di kereta ketika petang selepas dimaklumkan suaminya bahawa mangsa tidak dihantar ke taska."
Zam Halim menyatakan, pegawai perubatan hospital itu menerima mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri pada jam 5.53 petang.
Tambahnya:
Pemeriksaan lanjut mendapati mangsa yang merupakan anak bongsu daripada dua beradik itu disahkan meninggal dunia akibat kejadian. Polis akan merakam keterangan ibu mangsa berkaitan kejadian.
"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 iaitu pengabaian terhadap kanak-kanak."
NOTA: Foto di atas adalah gambar hiasan semata-mata.
SUMBER: Sinar Harian
Leave a Reply