POLIS sudah mengeluarkan sebanyak 4,862 saman terhadap pemandu warga asing sepanjang tempoh lapan bulan pertama tahun ini, Januari sehingga Ogos 2023.
Bagaimanapun, jumlah pesalah trafik warga asing yang tampil dan membuat bayaran saman nampaknya masih terlalu rendah sehingga mendorong polis melancarkan Op Saman Tertunggak Warga Asing di seluruh negara bermula minggu lalu.
Berikut ialah pecahan saman ke atas warga asing sejak Januari hingga Ogos 2023:
- 2,720 saman K170A - notis di kenderaan.
- 2,142 saman K257 - notis diserahkan secara langsung kepada pesalah trafik
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, sebanyak 1,703 saman berjaya diselesaikan pesalah trafik terlibat, Baki 3,159 saman pula masih belum dilangsaikan pesalah trafik terlibat.
Harian Metro melaporkan beliau sebagai berkata:
Operasi itu memfokuskan kepada warga asing yang terbabit kesalahan trafik dan tidak bayar saman.
"Pemandu warga asing ini kita hanya keluarkan saman (kesalahan lalu-lintas) dan kalau ada kesalahan lain seperti tiada dokumen, itu kita akan ambil tindakan."
Ayob menambah, ada sebanyak 18,385 saman ke atas pemandu warga asing dikeluarkan sepanjang 2022 dengan pecahan saman 15,221 saman K170A dan 3,164 saman K257.
Beliau berkata, hanya 6 peratus daripada keseluruhan saman K170A yang diselesaikan pesalah trafik warga asing dan 40 peratus saman K257 diselesaikan pesalah.
Leave a Reply