JORGE Martin (Prima Pramac Racing) mencatat kemenangan berganda di GP San Misano 2023 di Itali semalam, sekali gus merapatkan jurang dengan pendahulu kejuaraan, Francesco Bagnaia.
Bagnaia aka Pecco setakat ini mengumpul 283 mata sepanjang 12 aksi MotoGP musim ini, iaitu 37 mata mendahului Martin (247 mata), manakala Marco Bezzecchi (Mooney VR46) pula mengumpul jumlah mata ketiga tertinggi, 218.
Dalam perlumbaan semalam, Pecco menamatkan perlumbaan di tempat ketiga di belakang Bezzecchi. Sama seperti aksi Sprint, Martin yang bermula di petak depan menerima asakan Bagnaia hingga selekoh terakhir, tetapi disekat pelumba Prima Pramac Racing itu untuk mengutip mata penuh.
Dalam lap kedua, Bezzecchi merapatkan jurang masa dengan Martin dan Pecco ketika Brad Binder (Red Bull KTM) memintas Dani Pedrosa untuk posisi keempat. Kesilapan Bezzecchi di Turn 10 membuka ruang kepada Martin dan Pecco menambah jarak masa.
Bezzecchi pantas membetulkan kesilapan dengan memintas Pecco di lap kelima (Turn 8) untuk merebut posisi kedua. Bagaimanapun, sekali lagi kesilapan dilakukan di Turn 10 yang mana tempat kedua kembali diraih juara bertahan musim lalu.
Usaha Binder mencari posisi lebih baik dalam kalangan pelumba barisan depan pula berakhir apabila terbabas di lap ke-8 di Turn 14, tetapi pelumba Red Bull KTM itu kembali meneruskan perlumbaan dan melepasi garisan penamat di kedudukan ke-14.
Malang berganda buat pasukan Red Bull KTM apabila pelumba wildcard, Michele Pirro (Aruba.it Racing) 'menolak' keluar Jack Miller (Red Bull KTM) di Turn 4.
Pelumba harapan Repsol Honda, Marc Marquez pula menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh, manakala ayam tambatan Monster Energy Yamaha, Fabio Quartararo di tempat ke-13.
Leave a Reply