CHERY kembali semula ke pasaran Malaysia pada Julai lalu dengan menawarkan dua model baharu dalam segmen kenderaan utiliti sukan (SUV), iaitu Omoda 5 dan Tiggo 8 Pro.
Menarikmya adalah keberanian Chery Malaysia menceburi segmen SUV yang sedia sengit dengan pelbagai model pencabar dari Jepun, Korea Selatan dan Eropah, termasuk model nasional daripada Perodua dan Proton.
Satu fakta perlu kita ketahui, Chery Malaysia ialah syarikat subsidiari dari China dan bukan berstatus firma pengedar.
Ini permulaan mencabar, tetapi Chery Malaysia tidak gentar dengan saingan yang menanti kerana setiap produk jenama itu ada kelebihan tersendiri yang belum dapat ditandingi pesaing lain.
Sebelum terlupa, Chery Malaysia bukan mengimport masuk Omoda 5 dan Tiggo 8 Pro, tetapi memasang produk tersebut di kilang Inokom di Kulim, Kedah untuk pasaran tempatan.
CHERY OMODA 5
Chery Omoda 5 diposisikan dalam SUV segmen-B dan ke atas, atau lebih besar, iaitu antara segmen pasaran yang didiami banyak model popular.
Apa yang meletakkan model ini selangkah di depan adalah aspek rekabentuk futuristik dan berani serta penuh gaya yang jarang ditawarkan pesaing lain.
Futuristik di sini bukan bermaksud menerima sentuhan moden hingga kenderaan tersebut nampak pelik. Futuristik pada Chery Omoda 5 bersifat relevan dan seiring cita rasa pengguna masa kini seperti golongan muda. SUV ini jelas tiba tepat masanya.
Jika dilihat rekabentuk, semua sudut Chery Omoda 5 menonjolkan gaya dan imej berani dengan ekspresi penuh gaya sebagai SUV moden. Secara peribadi, inilah satu-satunya SUV yang cukup menawan kalau dibandingkan pesaing lain dalam segmen sama.
Selari konsep Art in Motion, Chery Omoda 5 melangkaui batasan rekabentuk, warna dan bentuk untuk SUV dengan menggabungkan elemen artistik dan fungsional sebuah kenderaan yang akan menarik perhatian setiap kali dipandang pengguna lain atas jalan.
Tarikan utama adalah bahagian depan Chery Omoda 5 yang cukup unik, dengan gril depan disepadu dalam fasia dan bampar depan. Antara rongga gril, kelihatan tekstur berlian krom yang tampak unik dan berbeza.
Permukaan fasia tampil lembut dan anggun dari sisi ke sisi. Bonet menonjolkan beberapa garis lembut di tengah, tetapi sudut sisi memiliki struktur garis lebih menyerlah yang selari pilar-A hingga depan.
Jika mahu menampakkan gaya lebih futuristik, ada opsyen skema warna dengan aksen garis dan jalur merah bawah gril, cermin sisi, rim dan sisi SUV.
Kluster depan terbahagi dua bahagian: lampu siang (DRL) bentuk abjad T dan lampu signal belok sebaris bawah bonet. Kluster kedua membabitkan lampu utama LED projektor yang diposisikan sebelah gril dan bawah lampu DRL.
Ruang sisi menampakkan imej menarik menerusi rim 18 inci lima bilah futuristik dengan corak dwi-tona.
Malah, elemen anggun Chery Omoda 5 dilanjutkan sisi kenderaan yang menampakkan permukaan lembut bahagian atas dengan beberapa struktur garis badan pada bawah pintu depan dan belakang.
Bumbung Chery Omoda 5 direka melandai seakan gaya kereta sport coupe, tetapi dengan pilar-C (belakang) dihitamkan. Spoiler bumbung pula ada dua lapisan bilah dengan bahagian atas mengikut warna badan dan lapisan kedua berona merah.
Sudut tepi belakang menampakkan garisan badan lebih menonjol, terutama sekeliling kluster lampu belakang. Set lampu belakang nampak seperti bersambung dari kiri ke kanan menerusi jalur merah horizontal sepanjang but.
Menariknya, lampu belakang direka tirus dan mengapit teks lencana Chery. Lampu tersebut akan memaparkan pergerakan cahaya atas ke bawah manakala lampu signal pula jenis sekuensial.
Spoiler bumbung pula ada dua lapis dengan bahagian atas warna hitam dan lapis kedua merah.
Melangkah masuk ruang kabin membuktikan SUV ini memang berteknologi tinggi dan berkualiti tinggi berbanding model lain.
Ruang kabin Chery Omoda 5 memberikan pengalaman baharu menerusi kelebihan rekaan seperti unit infotainment digital yang bersambung dengan kluster instrumen bersaiz 20.5 inci seperti gaya kereta mewah.
Menariknya, skrin digital berwarna pula jenis sentuh dan tetapan kluster instrumen boleh diubah mengikut pilihan ditawarkan. Tambahan lain ialah akses sambungan wayarles dan juga pengecas wayarles untuk telefon pintar.
Chery Omoda 5 juga dilengkapi sistem kamera 360º yang memudahkan operasi memarkir kenderaan. Ciri itu sudah jadi satu kemestian bagi banyak SUV masa kini.
Selain itu, pengguna juga diberikan konektiviti wayarles Android Auto dan Apple CarPlay menerusi sistem infotainment skrin sentuh 10.25 inci.
Aspek teknologi keselamatan dilengkapi pakej komprehensif terdiri daripada: kamera undur, Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dengan Agihan Brek Elektronik (EBD), dan Program Stabiliti Elektronik (ESP), Sistem Kawalan Traksi (TCS), Bantuan Brek (BA), Kawalan Bantuan Mula Daki (HASC), Kawalan Turun Bukit (HDC), Kunci Pintu Automatik Pusat (ACLD) dan Sistem Pemantau Tekanan Tayar (TPMS).
Malah, Chery Omoda 5 juga dilengkapi Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS) seperti:
- Amaran Keluar Lorong (LDW)
- Pengesan Titik Buta (BSD)
- Kekal Lorong Kecemasan (ELK)
- Amaran Trafik Lintas Belakang (RCTA)
- Kawalan Jelajah Adaptif (ACC) dengan Ikutan Kelajuan Rendah (LSF)
- Amaran Pelanggaran Depan (FCW) dengan Pengecaman Kenderaan
- Brek Kecemasan Autonomi (AEB)
- Kawalan Lampu Utama Automatik (HMA)
- Cegah Keluar Lorong (LDP)
- Bantuan Jelajah Integrasi (ICA)
- Bantuan Trafik Sesak (TJA)
- Bantuan Halaju (SLA)/Bantuan Kawalan Kelajuan (SCF) - varian H
- Pengecam Papan Tanda Jalan (RSR)/Adaptasi Kelajuan Pintar (ISA) - varian H
- Kamera pandang keliling 360º definisi tinggi (HD) - varian H
CHERY TIGGO 8 PRO
Ini SUV 7-kerusi segmen-D yang menekankan aspek kepintaran dan kemewahan. Asasnya, imej luaran Chery Tiggo 8 Pro tidak menggambarkan realiti sebenar sehingga anda menjengah ruang kabin.
Ini kerana rupa luaran nampak seperti SUV moden premium.
Kabin hadir dalam kombinasi tiga warna yang memberikan fiil mewah. Kemasan papan pemuka menerima kombinasi warna hitam di atas dan coklat di bawah. Konsep sama turut diterapkan pada semua panel pintu.
Skema warna coklat dapat dlihat pada setiap kerusi dan bahagian konsol tengah hingga sisi. Setiap kerusi memiliki corak sulaman trapezoid.
Siling bumbung berwarna cerah dan dilengkapi bumbung panoramik. Antara ciri menarik disediakan ialah teknologi pengecas wayarles, konektiviti Android Auto dan Apple CarPlay, juga wayarles, butang memori kerusi, penyaman udara dwi-zon dengan ventilator belakang, dan pintu but elektrik.
Dua ciri keselamatan paling menarik ialah sembilan beg udara dan sistem kamera 540º. Berikut perincian ciri itu:
- Sistem beg udara terdiri daripada enam beg udara standard di hadapan (dua), sisi penumpang depan (dua) dan tirai dengan tambahan tiga lagi beg udara di bahagian lutut pemandu dan dua beg udara sisi untuk keperluan penumpang barisan kedua.
- Sistem kamera 540º pula adalah tambahan sudut 190º penglihatan bawah kenderaan kepada sistem paparan biasa 360º.
Selain beg udara dan sistem kamera 540º, Chery Tiggo 8 Pro juga dilengkapi teknologi bantuan pemandu ADAS seperti:
- Amaran Keluar Lorong (LDW)
- Kekal Lorong Kecemasan (ELK)
- Pengesan Titik Buta (BSD)
- Amaran Pintu Buka (DOW)
- Amaran Trafik Lintas Belakang (RCTA)
- Kawalan Jelajah Adaptif (ACC) dengan Bantuan Jelajah Integrasi (ICA)
- Amaran Pelanggaran Depan (FCW) dengan Pengecaman Kenderaan
- Brek Kecemasan Autonomi (AEB)
- Kawalan Lampu Tinggi Pintar (IHC)
- Bantuan Trafik Sesak (TJA)
- Pengecam Papan Tanda Jalan (TSR)
WARANTI, SERVIS PENYELENGGARAAN
Pemilik Chery Malaysia layak menerima perlindungan waranti pengeluar selama tujuh tahun atau perbatuan 150,000km (mana satu tiba dulu) untuk komponen enjin dan sistem transmisi.
Perlindungan tiga tahun atau jarak perbatuan 60,000km ditawarkan kepada kompartmen enjin, casis dan bahagian bawah serta komponen elektronik.
Chery Malaysia juga memberi waranti dua tahun atau 40,000km untuk kotak peredam ekzos dan pengubah bermangkin, tetapi tertakluk kerosakan dari kilang. Turut disediakan ialah waranti setahun atau 30,000km untuk komponen lain.
Chery Malaysia turut menawarkan Pakej Perlindungan Lanjutan (EWP), meliputi enjin dengan tawaran perlindungan selama 10 tahun atau hingga sejuta kilometer, mana satu tiba dulu.
EWP ialah opsyen yang memerlukan pelanggan membuat bayaran tambahan RM2,000. Berikut perincian perlindungan diberi sebagai standard:
Leave a Reply