PROTON menganjurkan persidangan di ibu negara hari ini sebagai platform untuk kumpulan pelabur luar negara bertemu wakil Kerajaan dan rakan kongsi berpotensi bagi menjayakan projek Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) di Proton City, Tanjung Malim di Perak.
Dinamakan Konvensyen Pelabur dan Vendor Global 2023, persidangan itu turut berkongsi perkembangan terbaharu di tapak projek AHTV dan maklumat mengenai insentif disediakan untuk kumpulan pelabur berpotensi.
Lebih 200 peserta termasuk wakil Kerajaan pelbagai agensi berkaitan pelaburan dan teknologi, wakil pengurusan DRH-HICOM, Geely dan Proton serta kumpulan vendor tempatan dan luar negara, terutama dari China hadir dalam persidangan tersebut.
Hadir pada majlis itu ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Pengerusi Proton, Tan Sri Syed Faisal Albar dan Naib Presiden Geely Automotive Group Purchasing Company, Richard Wang.
Konvensyen itu adalah langkah susulan selepas DRB-HICOM dan Geely memeterai Ketua Perjanjian (HoA) di Beijing untuk pembangunan AHTV.
KENAPA AHTV SIGNIFIKAN?
- Sebuah kawasan yang bakal berperanan sebagai hab pembinaan Kenderaan Generasi Akan Datang (NxGV).
AHTV akan meliputi kawasan kira-kira 404.6 hektar (1,000 ekar) dan boleh diperluas untuk menampung keperluan masa depan. - Berpotensi mewujudkan puluhan ribu peluang pekerjaan kepada generasi muda.
- Bakal menjadi pusat penyelidikan diiktiraf peringkat global untuk penghasilan komponen automotif berteknologi tinggi.
- Membantu negara menjadi peneraju serantau dalam bidang pendidikan kejuruteraan automotif, teknologi maklumat, kepintaran buatan (AI) dan pembangunan perisian.
- Ini termasuk universiti penyelidikan untuk meluaskan keupayaan pekerja automotif Malaysia.
- Dalam tempoh 10 tahun akan datang, pembangunan AHTV dijangka menarik pelaburan bernilai RM32 bilion, termasuk daripada Proton.
- AHTV juga membantu sektor automotif Malaysia selari hala tuju Dasar Automotif Negara (NAP) 2020.
APA KATA ZAFRUL?
Kami harap AHTV dapat menarik semua pemain automotif di satu lokasi. Seperti anda tahu, kita ada suatu sasaran agresif untuk sektor EV (kenderaan elektrik) dan kami mahu AHTV menjadi salah satu pangkalan untuk syarikat-syarikat membuka kilang mereka, membantu industri automotif."
"Ini kerana industri automotif ini memerlukan keseluruhan rangkaian bekalan dan ekosistem dan AHTV ini memberi peluang kepada syarikat EV datang dan bekerja rapat dan bersama menyokong industri automotif di Malaysia. Bukan hanya Proton, tetapi jenama kenderaan lain di Malaysia."
PANDANGAN WAKIL GEELY
Richard pula menyatakan, Proton ialah jenama berharga di Malaysia. Sejak pelaburan Geely pada 2017, pihaknya membantu menambah baik kualiti, teknologi dan kedudukan pasaran Proton selain transformasi kilang dengan pembangunan produk baharu.
Beliau berkata, siri X Proton kini mendahului segmen masing-masing dan model terbaharu X90 pula membantu Proton dalam peralihan kepada penggunaan tenaga baharu.
Beliau berkata;
Kami mengalu-alukan pembekal Geely untuk melabur dalam AHTV , untuk berkongsi lokasi strategik yang lengkap dengan fasiliti dan sama-sama meneroka pasaran Malaysia dan Asia Tenggara. Kami percaya ini tempat paling ideal untuk anda kembangkan perniagaan."
INI PULA KATA-KATA SYED FAISAL
DRB-HICOM dan Geely Group kini memiliki Proton sebagai jenama kenderaan nasional Malaysia. Proton bermula pada 1983 dan kemasukan Geely pada 2017, kami membentuk Proton baharu. Sejak itu, ia mencatat pertumbuhan luar biasa."
"Disebabkan pengembangan luar biasa Proton sejak lima tahun lalu, DRB-HICOM dan Geely amat yakin membangunkan satu hab automotif berteknologi tinggi rantau ini. Dengan sebab ini, kami sudah melancarkan AHTV tahun lalu. AHTV bertujuan mencipta hab automotif rantau Asean dan kami akan menarik (pihak) yang terbaik dunia berhubung sokongan dan pembangunan teknologi baharu dengan industri automotif global."
"Teknologi pantas berubah, seperti kita tahu. Dan kami sudah saksikan peredaran pantas dalan kategori kenderaan tenaga baharu, khususnya datang dari China.
"Rakan kami Geely di China sememangnya terkenal dengan kepakaran teknologi dengan jenama baharu seperti Zeekr, Polestar, Smart selain Geely, Volvo dan Lotus. Dengan Geely di sisi, kami sebagai pemilik bersama pembangunan AHTV, kami berasa yakin AHTV akan jadi destinasi vendor popular global."
Syed Faisal juga menyifatkan AHTV sebagai tempat untuk semua peserta Konvensyen Pelabur dan Vendor Global 2023 mengembangkan perniagaan, bekerja dan tinggal dengan kelengkapan moden serta struktur sokongan.
Leave a Reply