KEBANYAKAN motosikal baharu masa kini didatangkan dengan panel meter digital bagi menggantikan meter analog. Kelebihan skrin digital adalah paparan banyak maklumat tunggangan penting selain spidometer, taskometer dan odometer, misalnya, jam, trip perjalanan, dan navigasi GPS.
Malah panel meter digital moden membolehkan penunggang membuat konektiviti telefon pintar menerusi aplikasi khas menggunakan sambungan wayarles Bluetooth untuk menerima mesej dan notifikasi panggilan masuk.
Namun, sehebat mana panel meter digital, komponen itu masih ada kelemahan seperti mana komponen elektronik lain. Antaranya sukar dibaiki jika rosak dan mungkin membebankan pengguna kerana perlu membayar harga tinggi untuk menggantikan unit skrin yang pecah atau retak.
Ada banyak jenis kerosakan boleh menimpa panel meter digital yang mudah diketahui. Paling kerap berlaku adalah beberapa indikator terpadam atau teks paparan jadi kurang jelas atau terputus pada skrin LCD.
Kerosakan seperti itu dipanggil piksel mati (dead pixels), dan punca kerosakan adalah pelbagai seperti motosikal terjatuh walaupun impaknya mungkin tidak begitu kuat.
Komponen elektronik dalam panel meter digital spidometer mudah rosak jika berlaku perlanggaran atau terbabas. Walaupun impak jatuh tidak kuat, tetapi posisi jatuh pula tidak bersesuaian, ia boleh merosakkan spidometer disebabkan kerosakan bahagian dipateri (litar elektronik spidometer) tertanggal."
Bagaimanapun, jika skrin spidometer padam terus dan tidak menyala, ia mungkin cuma kerosakan kecil yang mungkin disebabkan fius atau bateri. Besar kemungkinan skrin masih berfungsi baik.
Kalau spidometer masih menyala, tetapi paparan huruf atau nombor menjadi malap atau tidak nampak, itu mungkin disebabkan masalah dead pixel.
Bagaimanapu , kerosakan spidometer digital tidak memberi kesan terhadap prestasi kerana motosikal masih boleh dihidupkan dan berfungsi seperti biasa. Cuma penunggang mengalami sedikit kesukaran seperti tidak dapat membaca baki petrol.
Harga menggantikan panel meter digital pula berbeza mengikut model motosikal. Namun, komponen seperti panel meter digital jarang disimpan sebagai stok dan pengguna perlu sabar menunggu.
SUMBER: Kompas
Leave a Reply