BAGAIMANAKAH mengukur kesetiaan pelanggan terhadap sesuatu jenama motosikal?
Kesetiaan bukan bermaksud menerima motosikal sebagai ‘hadiah’, dilantik sebagai duta produk atau menerima bayaran untuk menceritakan kebaikan sesuatu jenama pengeluar kepada orang ramai.
Sebenarnya, individu seperti ini memang wujud dalam kalangan kita, tetapi agak sukar untuk dikenal pasti kerana mereka kurang gemar menunjuk-nunjuk di media sosial.
Salah seorangnya Syd Ahmad Azimin Syd Jamaluddin. Lelaki berumur 51 tahun ini ialah pengguna tetap motosikal jenama Modenas sejak 23 tahun lalu.
Malah kesetiaan terhadap jenama nasional itu terpampang di kediaman Syd Penulis sempat melihat kain rentang besar Modenas berwarna biru dan gegantung Famili Modenas Jaguh (FMJ) digantung di perkarangan rumahnya.
Syd dan keluargan memiliki koleksi 11 unit motosikal, termasuk skuter Modenas yang sebahagian besar dalam kondisi baik dengan beberapa unit lagi masih dibaik pulih.
Berikut senarai motosikal dan skuter Modenas dimiliki Syd sekeluarga:
- Modenas Kriss 1 - 1 unit
- Modenas Elit Sport 150 - 1 unit
- Modenas CT100 - 1 unit
- Modenas Ace 115 - 1 unit
- Modenas Jaguh 150 - 6 unit
- Modenas Bajaj V15 - 1 unit
Jika diteliti senarai di atas, Syd dan keluarganya lebih cenderung meminati model cruiser Jaguh berkapasiti 175cc berbanding segmen kapcai atau skuter.
Jaguh menjadi kenderaan tunggangan Syd sekeluarga ke pelbagai acara permotoran serata negara, termasuk konvoi bermotosikal ke negara jiran.
Selain itu, keluarga empat beranak ini juga aktif berkonvoi pulang beraya di kampung mereka di Perak, siap berbaju Melayu dan bersamping.
Syd sebelum ini ialah pengguna Honda C70 (lampu bulat) dan Yamaha Nouvo sebelum beralih menggunakan produk Modenas, iaitu skuter Elit 150 pada 2011. Sebelum itu, dia pernah memiliki seunit Modenas Jaguh sekitar 2000 sebelum menjualnya.
Syd juga menyatakan beliau ialah pemilik pertama Bajaj V15 yang dibeli tunai RM6,200. Bagaimanapun, Syd tidak menyembunyikan rasa terkilan kerana model itu tidak memaparkan jenama Modenas, sebaliknya terus kekal dengan nama asal pengeluar dari India.
KENAPA SETIA DENGAN MODENAS?
Sepanjang menggunakan Modenas, Syd mengakui produk keluaran kilang Modenas di Gurun itu jarang mendatangkan masalah.
Walaupun mereka kata (produk) murah, memang murah pun (sebab) mesra rakyat. Motor memang tak ada masalah. (Sebagai contoh) Saya pakai Elite belum pernah hadapi masalah kabel putus tengah jalan, tapi pernah berlaku dua kali dengan skuter Jepun.
"Kenapa saya setia dengan Modenas? Pertama, saya rakyat Malaysia dan Modenas ialah produk Malaysia. Kedua, selama saya pakai Modenas, satu pun tak ada bagi masalah. Belum pernah sangkut tengah jalan dengan major problem," katanya.
Pengalaman memiliki Jaguh pertama pada 2000 mendorong Syd membeli semula model sama pada 2013 untuk dirinya, kemudian menambah Jaguh kedua untuk isteri sebelum koleksi cruiser sama berkembang kerana anak-anak turut memiliki minat sama.
Seperti kebanyakan pemilik motosikal jenis easy rider dan cruiser, Jaguh dalam koleksi Syd turut mendapat sentuhan kustom. Bagaimanapun, lencana dan logo Modenas masih kekal pada badan motosikal tersebut.
KELEBIHAN MODENAS JAGUH
Syd secara peribadi menganggap Modenas sebagai motosikal yang tidak banyak mendatangkan masalah. Beliau berkata;
Pertamanya, tak banyak ragam dan sesuai dengan Malaysia punya condition dan juga (menepati) bajet rakyat Malaysia. Selain itu, jurutera Modenas di Gurun agak bijak kerana 40 peratus part (komponen) atau alat ganti Jaguh boleh menggunakan komponen GT128, Kriss dan Kawasaki."
ISU ALAT GANTI, SERVIS
Mengulas lanjut, Syd mendakwa pemilik Jaguh tidak berdepan banyak masalah mendapatkan alat ganti kerana ciri mudah kacuk ditawarkan Modenas pada produk jenama itu. Beliau berkata;
Alat ganti masih boleh didapati di kedai-kedai, boleh juga guna barang GT128 sebab masih ramai gunakan motor tum terutama di kampung. Di Kuala Lumpur, memang dah kurang.
"Di Jepun dan Thailand, masih ada stok alat ganti. Biasanya, mekanik akan import masuk untuk Jaguh. Kebanyakan alat ganti itu jenis lokal, bukan original. Misalnya karburator Jaguh sama seperti Kawasaki Boss di sana."
Syd menjelaskan akan melakukan penyelenggaraan motosikal Jaguh dengan bengkel persendirian yang mahir dengan model Jaguh di Gombak dan Ampang selain buat servis sendiri.
Faktor mendorong kepada konsep servis sendiri dan luar kerana kekurangan pusat servis Modenas selain ramai mekanik muda tidak berani membaik pulih Jaguh kerana model berusia.
Bagaimanapun, Syd dan keluarga tetap menjadikan premis rasmi Modenas sebagai rujukan untuk memperoleh komponen tulen, atau mendapatkan bantuan dan nasihat mengenai alat ganti.
Mengenai masalah mendapatkan panel badan Jaguh, Syd menjelaskan isu itu bukan masalah besar kerana ada pengusaha bengkel tempatan yang boleh membantu menghasilkan komponen secara kustom.
Kalau panel plastik dah tak ada, mereka boleh buat dengan material besi. Banyak bengkel sebenarnya boleh menghasilkan komponen untuk model Jaguh," katanya lagi.
NILAI JAGUH MAKIN NAIK
Jika dulu unit Jaguh terpakai boleh didapati dengan harga serendah RM800 seunit, tetapi kini harga motosikal itu mampu mencecah hingga RM1,500 walaupun berstatus tidak boleh tukar nama.
Syd menjelaskan, model Jaguh yang menerima sentuhan kustom memiliki nilai jualan lebih tinggi berbanding versi standard, hingga harga boleh mencapai lebih RM5,000 seunit.
Jangan terkejut, masih ada individu mencari model Jaguh untuk kegunaan santai selain kecenderungan terhadap budaya kustom tanpa membebankan kocek.
HARAPAN SYD
Sepanjang temu bual dengan Syd, beliau nampaknya mengenali kenal ramai orang kuat Modenas sejak zaman fenomena Jaguh hingga era masa kini. Ramai nama yang disebut adalah individu yang penulis juga kenal.
Syd juga bukan asing di 'rumah' Modenas kerana kerap menghadiri majlis dan pertemuan anjuran pengeluar itu selain membantu mengusulkan idea sebagai pengguna biasa, termasuk input daripada ramai peminat muda Modenas.
Sebelum berpisah, Syd mengulangi harapan peribadi untuk melihat Modenas kembali bangkit sebagai jenama nasional, termasuk kembali menawarkan barisan model motosikal yang diminati orang muda. Beliau turut meninggalkan amanat tentang koleksi motosikalnya:
Kalau aku dah tak ada, tolong jangan jual koleksi motosikal Modenas. Tapi kalau terpaksa jual, tolonglah simpan satu."
Leave a Reply