KERJASAMA antara pengeluar motosikal Itali, MV Agusta dan KTM dari Austria menjadi topik hangat industri sejak beberapa bulan lalu. Apa yang pasti, KTM kini nampak lebih menonjol dan aktif terhadap kerjasama dengan jenama MV Agusta.
Di Amerika Utara, KTM sudah mengambil alih pengedaran motosikal jenama MV Agusta dan perjanjian itu turut merangkumi pasaran di Kanada dan Mexico. Langkah tersebut tepat kerana MV Agusta memiliki jumlah pengedar terhad di rantau itu.
Melihat pasaran Asean pula, situasi MV Agusta juga hampir sama kerana kehadiran jenama itu agak terhad jika dibandingkan pesaing Eropah lain. Ini menyebabkan pemilik MV Agusta terpaksa menghabiskan masa mengunjungi premis sah di lokasi jauh untuk mendapatkan servis dan alat ganti.
Jepun nampaknya akan mengikuti langkah seperti di Amerika Utara apabila KTM Japan mengumumkan akan memulakan kerja mengurus pengedaran dan mengimport produk MV Agusta bermula 1 Ogos nanti.
Menurut laporan portal Young Machine, langkah pengedaran MV Agusta melalui KTM adalah selari kerjasama strategik global antara firma Pierer Mobility dan MV Agusta.
Ini bermaksud pemilik semasa MV Agusta mendapat jaminan sokongan untuk kenderaan masing-masing dan akan terus menikmati waranti standard MV Agusta sedia ada.
Kerjasama kedua-dua entiti itu dijangka menambah baik pasaran, meluaskan rangkaian pengedaran dan memudahkan pengguna mendapatkan motosikal MV Agusta.
SUMBER: MotorcycleSport
Leave a Reply