TOYOTA C-HR (2024) generasi kedua diperkenal untuk pasaran Eropah bagi menggantikan generasi pertama yang dikeluarkan sejak 2016 dan sekali lagi meneruskan gaya agresif.
Model generasi pertama mengubah persepsi umum terhadap Toyota di Eropah dengan lebih separuh pelanggan menyatakan rekabentuk menjadi faktor utama pembelian model itu.
Tidak boleh disangkal lagi rekabentuk memainkan peranan sangat penting dalam menjual produk yang mana Toyota C-HR baharu direka, dibikin dan dikeluarkan di Eropah untuk pelanggan di sana.
Rekabentuk Toyota C-HR Prologue
Toyota sebelum ini mempamerkan rekabentuk Toyota C-HR (2024) menerusi model konsep Toyota C-HR Prologue (foto atas) dan kini boleh dilihat pada model pengeluaran yang dramatik ibarat kereta konsep versi atas jalan.
Seperkara menarik, Toyota C-HR ibarat abang kepada model kompak Toyota Aygo X, juga untuk pasaran Eropah yang pernah kami paparkan sebelum ini.
Bahagian depan tampil menonjol ala model elektrik bZ4X dan Prius baharu, manakala lampu 'sepit ketam' direka baik.
Dari sisi, lekuk dan garis badan nampak seperti tiga dimensi (3D). Berbanding model dahulu, hendal pintu belakang pada bucu cermin dipindah ke tempat biasa. Kali ini hendal pintu disorok rata ke dalam badan kereta.
Bahagian belakang pula sarat lekuk dan lampu dibuat tipis dalam bentuk horizontal. Tidak hanya membawa idea radikal, pasukan pereka Toyota bekerja rapat bersama divisyen aerodinamik bagi memastikan rekabentuk luaran kenderaan utiliti sukan (SUV) tersebut mempunyai ciri terbaik bagi mengoptimum aliran udara sekeliling kereta.
Dari segi dimensi, Toyota C-HR memiliki saiz panjang 4,360mm, lebar 1,830mm, tinggi 1,558mm atau 1,564mm bergantung varian, manakala jarak roda 2,640 mm.
Bahagian dalaman tidak seradikal luaran dan masih seperti SUV normal. Bergantung varian, Toyota menawarkan kluster instrumen kombi digital penuh 12.3 inci.
Semua varian dilengkapi pakej multimedia Toyota Smart Connect dan unit infotainmen skrin sentuh 8 inci atau 12.3 inci. Seperkara menarik, ada pilihan 64 warna lampu ambien dan 24 tema yang boleh bertukar setiap jam.
Turut ditawarkan sistem kunci digital yang membolehkan pengguna mengakses kereta dan menghidupkan enjin menggunakan telefon pintar.
Prihatin alam sekitar, Toyota C-HR (2024) serba baharu ini menggunakan banyak material plastik kitar semula, atau sekali ganda berbanding sebelum ini atau lebih 100 perkakasan.
Antaranya balutan kerusi menggunakan fabrik daripada botol PET kitar semula dan balutan stereng daripada bahan bebas haiwan sebagai alternatif kepada kulit.
Bumbung panoramik yang digunakan mempunyai lapisan pengurangan inframerah dan pancaran rendah yang dapat mengekalkan haba dalam kabin pada musim sejuk selain menghalang pemanasan lampau pada musim panas.
Rekaabentuk itu tidak memerlukan penghadang matahari konvensional selain menjimatkan berat 5kg dan menambah kelegaan kepala sebanyak 3sm. Penggunaan penyaman udara juga boleh dikurangkan.
Trenkuasa Hibrid dan Hibrid Plug-In (PHEV)
Selari perkembangan semasa, Toyota hanya menawarkan trenkuasa elektrifikasi, iaitu 1.8L dan 2.0L hibrid (HEV), dan 2.0L hibrid plug-in (PHEV).
Varian 1.8L HEV menggunakan trenkuasa sama seperti siri Corolla baharu, manakala varian 2.0L HEV ada pilihan pacuan semua roda pintar (AWD-i) untuk tambahan cengkaman dan kestabilan pemanduan.
Varian 2.0L PHEV pula canggih dengan fungsi had lokasi (geofencing) dan akan bertukar kepada mod elektrik secara automatik apabila memasuki zon emisi rendah (LEV).
Toyota Safety Sense
Semua varian Toyota C-HR (2024) dilengkapi teknologi bantuan pemandu Toyota Safety Sense (TSS) terkini seperti ciri Pengehad Halaju yang memperlahankan terotel ditekan mengejut dan sistem mengesan risiko pelanggaran.
Bantuan Pemanduan Proaktif (PDA) berfungsi pada halaju rendah, dan operasi nyah pecut dibuat lancar ketika pemandu melepaskan pendikit apabila menghampiri kenderaan perlahan di depan atau masuk selekoh.
Sistem itu juga berfungsi dengan Bantuan Stereng untuk mengenal pasti selekoh depan yang melaras daya stereng bagi membantu pemandu membelok lancar dan stabil.
Toyota C-HR Premier Editions
Ada dua varian istimewa diperkenalkan, iaitu GR SPORT Premiere Edition (foto atas kiri) dan High Premiere Edition (foto kanan).
Varian GR SPORT tampil istimewa dengan rim aloi 20 inci, gril corak G, lencana GR, kemasan Liquid Black pada konsol tengah, kerusi depan sport dengan logo GR, paparan dongak (HUD) dan sistem audio premium JBL.
Warna signatur Precious Silver digabung warna hitam pada bumbung dan sukuan belakang. Pelanggan turut diberi pilihan warna lain.
Toyota C-HR High Premiere Edition pula menggunakan warna signatur dwi-tona Sulphur dan beberapa pilihan lain. Bahagian dalaman dilengkapi kerusi kulit dan sulaman warna Sulphur, HUD dan bumbung panoramik. Tempahan secara atas talian untuk pelanggan Eropah kini sudahpun dibuka.
BACA >>> Toyota Vellfire dan Alphard (2023) Lancar di Jepun dengan Enjin NA, Turbo dan Hibrid!
BACA >>> Toyota Tacoma TRD Pro (2024) Tampil Bergaya, Lasak dengan Suspensi FOX
BACA >>> Toyota Aygo X Air Edition (2023) dalam Warna Brass Gold, Bukan Axia dan Bukan untuk Asia!
Toyota C-HR 2024
Toyota C-HR GR SPORT Premiere Edition
Toyota C-HR High Premiere Edition
Toyota Aygo X Air Edition (2023)
Leave a Reply